Skip to main content

Rencana

Super Liverpool vs Super Chelsea

livche.jpg
Jika anda merasakan perebutan Piala Super UEFA 2019 diantara Liverpool dan Chelsea kurang menarik kerana membabitkan dua pasukan dari latar belakang yang sama - iaitu pasukan inggeris, anda silap.

Pada final edisi ke-43 yang berlangsung di stadium kategori 4 UEFA, A. Le Coq Arena, Tallinn, Estonia, pasukan dengan reputasi hebat dari Sepanyol, Real Madrid akur ditundukkan musuh setempat, Atletico Madrid, yang mencetus senario mengujakan bukan sahaja lebih 12,000 pengunjung yang hadir tetapi juga puluhan ribu lagi penonton siaran langsung di kaca televisyen seantero dunia.

Maka, bayangkan bagaimana situasi di Vodafone Park, laman rasmi kelab Turki, Besiktas, yang mampu memuatkan lebih ramai pengunjung iaitu 41,000 penonton dalam satu-satu masa.

Apatah lagi, perlawanan Liverpool dan Chelsea ini merupakan kali pertama dua pasukan inggeris akan merebut Piala Super - kali kelapan kejohanan ini mempertemukan dua pasukan dari negara yang sama.

Turki juga sememangnya antara negara yang memiliki penyokong kelab inggeris yang ramai di dunia dan jangan terkejut, sekiranya jualan tiket juga seperti pisang goreng panas.

Atas sebab itu, pengumuman rasmi yang dibuat menyaksikan pihak pengurusan Liverpool memohon 5, 973 tiket manakala pihak pengurusan Chelsea meminta jumlah lebih kecil, dengan hanya 1, 314 tiket sahaja. 

Bakinya untuk dinikmati orang awam yang mahu merasai pengalaman menyaksikan aksi kompetitif La Liga dan bintang handalan dunia seperti trio berbisa Liverpool - Mohamed Salah, Roberto Firmino dan Sadio Mane atau legenda yang kini memimpin Chelsea, Frank Lampard.

Bagaimanapun, menurut laporan laman web CNN, sejak awal awal lagi, pengusaha restoran dan bar sukan di Istanbul sudah membuat perancangan rapi bagi menerima kebanjiran pelanggan yang hadir untuk menyaksikan siaran langsung Piala Super UEFA.

Ini kerana kumpulan pengusaha itu tidak mahu peristiwa 2005 berulang - Liverpool bangkit dari defisit tiga gol untuk tewaskan AC Milan pada penentuan penalti bagi menjuarai Liga Juara Juara Eropah - menyaksikan bekalan minuman dan makanan mereka habis kerana pelanggan meraikannya sehingga pagi.

Dengan gambaran jelas betapa kebanyakan komuniti bola sepak Turki mengikuti rapat perkembangan kelab inggeris - khususnya Liverpool - perlawanan kali ini juga lain daripada lain kerana diadili oleh pengadil wanita.

Stephanie Frappart, mencipta sejarah sebagai pengadil wanita pertama yang bertugas di saingan Ligue 1 April lalu dan anak jati Herblay-sur-Seine, Perancis ini sekali lagi mencetus sensasi sebagai pengadil wanita pertama yang mengadili aksi final kejohanan UEFA lelaki - semuanya berdasarkan prestasi baik dan pengalaman luasnya sejak mendapat pengiktirafan pada 2009, termasuk final Piala Dunia Wanita 2019 dan Sukan Olimpik 2016.

Dan seiring dengan usia penganjuran Piala Super yang sudah melebihi 4 dekad, UEFA juga mengambil satu lagi langkah berani dengan penggunaan video bantuan pengadil, VAR.

Walaupun sebelum ini, keputusan VAR seringkali mencetus sensasi dalam mana-mana kejohanan, namun ia seakan penambah perasa kepada perbezaan situasi semasa Liverpool dan Chelsea yang seperti langit dan bumi - menjanjikan keseronokan berganda yang dinanti-nantikan pencinta bola sepak dunia selepas berehat panjang.

Advertisement

Must Watch Video