Dunia sudah terbalik.
Sepatutnya, kejohanan bertaraf dunia jadi keutamaan berbanding peringkat kebangsaan.
Itu yang menimpa jaguh pecut negara, Khairul Hafiz Jantan dan Badrul Hisyam Abd Manap apabila ambil keputusan menyertai Sukma Sarawak yang bertembung tarikh dengan Kejohanan Remaja Dunia di Poland, Julai depan.
Realitinya, taraf kedua-dua kejohanan begitu jauh tetapi mengapa mereka pilih Sukma?
Adakah kerana peluang raih pingat di Sukma lebih cerah? Atau mereka 'diarah' untuk menabur bakti bersama negeri kelahiran, Melaka?
"Saya tidak faham mengapa mereka pilih Sukma. Sebagai jurulatih, saya mahu mereka beraksi di pentas tertinggi kerana pada usia ini mereka perlu dapat pendedahan terbaik.
"Mereka ialah masa depan olahraga negara. Saya harap mereka mempertimbangkan semula keputusan ini," kata ketua jurulatih olahraga negara, Zainal Abas.
Bekas Raja Pecut Sukan Sea 2003, Nazmizan Mohamad pula mempunyai pandangan berbeza: "Kita perlu hormati keputusan atlit. Jika mereka sudah menetapkan sasaran untuk berada di puncak prestasi pada Sukma, kita perlu biarkan mereka beraksi.
"Kita tidak boleh paksa mereka beraksi di mana-mana kejohanan. Jika mereka boikot bagaimana? Memang Kejohanan Remaja Dunia lebih besar, tapi bagaimana dengan impian mereka bergelar jaguh pecut Sukma? perkara ini agak rumit," katanya.
Sekarang, tepuk dada tanya selera.
Khairul dan Badrul yang akan berlari. Kita boleh menasihatkan mereka bahawa Poland lebih besar dan melupakan Sukma.
Tapi, saya pernah bersembang dengan Badrul sebelum dia berangkat ke Vietnam untuk Kejohanan Remaja Asia: "Dulu masa Watson (Nyambek) berlari pada Sukma 1996 di Pahang, saya kagum lihat dia bersaing dengan Azmi Ibrahim.
"Saya harap dapat buat perkara sama dengan Khairul di Sarawak. Malah, saya harap dapat memecahkan rekod kebangsaan (10.30s) di final Sukma," katanya.
Terpulanglah kepada kalian berdua. Apa yang penting, terus perbaiki catatan kerana selepas 16 tahun, Watson masih lagi memegang rekod kebangsaan. Rekod untuk dipecahkan, bukan untuk dipegang.