Skip to main content

Rencana

Sonny… Son Heung-min kebanggaan seluruh Asia

son_1.jpg
Pep Guardiola pernah menyindir Spurs sebagai “pasukan Harry Kane”. Hakikatnya, Tottenham bukan hanya berkisar kepada Kane, sebaliknya ada Dele Alli dan akhir-akhir ini, Son Heung-min.
 

Dan tidak hanya menjadi kebanggaan Korea Selatan, malah Son yang dipanggil Sonny oleh rakan-rakan sepasukan, turut mewakili rasa bangga seluruh Asia yang mempunyai populasi kira-kira 4.4 bilion orang.
 
Malah, harus ia amat bertepatan untuk pemain berprofil paling tinggi di Korea ini menerangi bilik-bilik temubual, sama seperti dia menerangi padang bola sepak.
 
Di London Utara, dia kini dilihat sebagai pelengkap Spurs -- Mousa Dembele dengan kehadirannya, Christian Eriksen dengan umpanan-umpanan, Kane dengan sentuhan penyudahnya manakala Son si penggelecek.
 
Sambil Asia pernah berbangga dengan Shinji Kagawa dan Park Ji-sung (Manchester United), Ali Al-Habsi (Bolton dan Wigan Athletic), Maya Yoshida (Southampton), Ki Sung-yeung (Swansea), Harry Kewell (Liverpool), Tim Cahill (Everton) dan Shinji Okazaki (Leicester), antaranya, tidak syak lagi Sonny adalah duta terbesar Asia dalam EPL  ketika ini.
 
“Adalah sukar untuk seorang pemain Asia dalam Liga Perdana, dan ia masih sukar ketika ini,” kata Heung-min dalam satu temubual.
 
“Ji (Park Ji-sung) adalah yang pertama melakukannya, jadi ia harus lebih sukar buatnya. Saya masih berharap untuk bermain sepertinya dan membawa peminat sepertinya dan memiliki impak sepertinya juga tapi saya belum sampai ke tahap itu,” tambahnya merendah diri.
 
Dalam pada itu, ketika dia mengunjungi Seoul bersama Spurs musim panas lalu, sambutan buatnya di lapangan terbang adalah umpama seorang bintang rock yang dipuja ramai.
 
“Saya tidaklah sepopular itu,” kata Son yang dituruti sekumpulan kecil wartawan Korea dalam setiap perlawanan Tottenham.
 
Pemain berusia 25 tahun itu, yang menyertai skuad The Lilywhites dengan kontrak lima tahun daripada Bayer Leverkusen pada 2015, sudah menjaringkan 13 gol musim ini.
 
Terbaru, pengurus, Mauricio Pochettino, merakamkan sanjungan terhadap Son yang cemerlang dengan dua golnya dalam kemenangan 2-0 ke atas Huddersfield di Stadium Wembley, Sabtu lalu.
 
Ia adalah jaringan berganda kedua berturut-turut daripada Son selepas dua golnya membantu kemenangan 6-1 ke atas Rochdale dalam perlawanan ulangan pusingan kelima Piala FA, Rabu lalu.
 
“Saya fikir Son adalah salah seorang pemain yang anda sentiasa jangkakan perkara-perkara menakjubkan,” kata Pochettino seperti dipetik oleh akhbar Daily Mail.
 
Beliau menambah: “Dia seorang pemain berbakat, konsisten, sangat professional dan sudah tentu apabila seorang pemain sepertinya atau Harry, mereka bekerja keras dan mengaut habuan daripadanya.
 
“Sudah tentu saya sangat amat gembira dengannya kerana dua golnya (ketika menentang Huddersfield) membantu kami untuk berkedudukan baik dalam carta liga.
 
“Dia adalah satu contoh yang menjadi teladan -- Harry Kane dan Son. Tapi kami memiliki ramai lagi contoh terhadap apa maknanya menjadi seorang profesional.”
 
Mengambil kira kata-kata Pochetino itu, maka tidak hairanlah Tottenham berharap untuk terus mengikat Son dengan perjanjian baru yang lebih lumayan pada ketika kontraknya masih berbaki dua tahun.
 
Son difahamkan meraih gaji £60,000 (RM325,000) seminggu ketika ini dan boleh mengharapkan habuan yang jauh lebih menggembirakan – apatah lagi dia adalah penjaring kedua terbanyak Spurs ketika ini dengan 13 gol dalam semua pertandingan.
 
Dia bukanlah satu-satunya pemain yang diharapkan Pochettino dapat dikekalkan -- Christian Eriksen, Jan Vertonghen, Mousa Dembele dan Erik Lamela kesemuanya berbaki dua tahun atau kurang – tapi Son harus yang teratas dalam senarai keutamaan.
 
Kepada satu soalan sama ada dia sudah menyerlahkan dirinya, Son menjawab dengan tersipu-sipu: “Saya sentiasa mencuba tapi saya tidak fikir begitu.
 
“Harry dan Dele… Saya hanya memberitahu orang yang saya bermain bersama mereka. Itu sudah cukup buat saya.”

Advertisement

Must Watch Video