Skip to main content

Rencana

Son Heung-min… satu temubual menarik (2)

son-(3).jpg
Pengalamannya berkelana ke Eropah ketika usia belasan tahun ternyata amat sukar tapi dia tidak menyesali setiap detik itu. Son Heung-min menyambung ceritanya…

Ketika Tottenham kali pertama melihat Son pada 2013, dia sudah kembali ke Hamburg dan berupaya menambat perhatian ramai.

Spurs, bagaimanapun, tersentak dengan harga £12 juta yang diminta untuknya tetapi dua tahun kemudian, membayar dua kali ganda untuk menandatanganinya dari Bayer Leverkusen.

“Dia meningkat dengan cepat dalam tempoh itu,” kata satu sumber Spurs seperti dipetik dalam temubual dengan akhbar Daily Mail.

Di London Utara, Son dilihat sebagai pelengkap kepada bakat-bakat lain di kelab itu -- Mousa Dembele dan Christian Eriksen.

Musim ini, dia telah menjaringkan 13 gol dan betapa ia berbeza daripada ketika dia duduk di pejabat pengurus, Mauricio Pochettino, pada penghujung musim pertamanya yang mencabar dan berbincang kemungkinan untuk berpindah ke kelab lain.

“Saya hanya mahu bermain dalam setiap perlawanan,” kata Son. “Saya sentiasa laparkan aksi dan menemui pengurus untuk bertanyanya untuk lebih banyak waktu bermain. Jadi, kami bercakap mengenai masa depan dan dia menyatakan banyak perkara yang baik-baik.

“Apabila seorang pemain melalui detik yang sukar dan memerlukan pertolongan, dia akan memberikannya. Itulah sebabnya saya masih berada di sini dan melakukannya dengan lebih baik.

Dalam diari musim lalu Pochettino yang baru diterbitkan, pengurus itu mendedahkan versinya sendiri mengenai pertemuan di pejabatnya itu.

“Kami sama-sama amat jelas bahawa dia perlu meraih haknya untuk bermain. Tapi saya memberitahunya dia sebahagian daripada perancangan saya dan dia memutuskan untuk kekal.”

Pochettino juga menceritakan mengenai rombongan yang dimiliki Son.

“Seorang setiausaha dan seluruh kakitangannya,” katanya. “Bapanya adalah ejennya dan dia mempunyai banyak penaja. Mengurus semua itu bukanlah mudah.”

Kira-kira satu setengah tahun selepas itu, fikiran Son ternyata lebih tenteram.

Pemain antarabangsa Korea Selatan itu juga mempunyai cara berjabat tangan yang berbeza dengan setiap seorang daripada rakan sepasukannya tetapi tidak dengan pengurus Spurs itu.

“Saya terlalu takut untuk melakukan itu,” katanya ketawa. “Saya hanya ucapkan selamat pagi…”

Lebih penting daripada itu, Son berterima kasih kepada Pochettino kerana meningkatkan kariernya.

“Dia telah melakukan terlalu banyak perkara baik hingga saya tidak dapat mengungkapkannya,” katanya. “Ia tidak dapat dipercayai. Ada kalanya dia adalah jurulatih saya dan kadangkala dia seperti keluarga. Saya tidak dapat memberikan satu perkataan untuk merumuskannya. Saya hanya mampu berterima kasih.”



Andai falsafah bola sepak Pochettino adalah sofistikated, Son pula lebih mudah -- berlari dan terus berlari ke depan.

“Dia yang menggalakkan saya melakukan itu,” katanya. “Bola sepak berkisar kepada membuat jaringan dan jika anda mahu melakukan itu, anda perlu mara ke hadapan.

“Saya tidak mahu melakukan perkara yang susah-susah, hanya berlari terus. Ketika saya mula menyertai Spurs, saya tidak seperti ini. Pengurus ini yang mengajar saya mengenai pergerakan saya dan untuk berlari ketika ketiadaan bola, saya telah banyak berubah.

“Sukar untuk dikatakan apa yang difikirkannya ketika pertemuan kami (di pejabatnya itu). Ia tidak kisah lagi sekarang. Saya benar-benar gembira saya masih berada di sini. Dia yang menjadikan semuanya lebih baik dan saya sangat berterima kasih.”

Satu-satunya kebimbangan terhadap karier Son yang semakin berkembang ialah prospek latihan khidmat negara. Semua lelaki di Korea perlu menamatkan latihan ketenteraan selama 21 bulan sebelum mencecah usia 28 tahun.

Pengecualian, bagaimanapun, lazimnya diberikan atas kejayaan dalam sukan dan Son dikatakan sangat gusar apabila pasukan bola sepak Korea gagal memenangi sebarang pingat dalam Sukan Olimpik Rio 2016.

Ia juga satu-satunya topik yang enggan dibincangkan oleh Son kerana khuatir disalahtafsirkan dan menimbulkan kemarahan pihak berkuasa di negaranya.

Dalam temubualnya itu, Son turut membayangkan jangkaan tinggi terhadap bintang-bintang bola sepak Korea, terutama menjelang Piala Dunia musim panas ini.

“Tekanan ke atas pasukan kebangsaan sebenarnya lebih lagi (daripada di Tottenham) kerana mereka menjangkakan lebih lagi daripada saya,” katanya.

“Harap-harap tekanan sedemikian menjadikan saya lebih baik kerana saya sedang belajar banyak perkara. Tapi ramai pemain dari Korea Selatan perlu turut meningkat untuk pasukan kebangsaan kami lebih berjaya.”

Liku-liku yang telah dilaluinya sejauh ini adalah panjang  dan wajar juga diketahui bahawa dua pemain lain yang menyertainya sebagai pemain belasan tahun untuk ke Hamburg, kini bermain dalam liga bawahan di Jepun dan Thailand.

“Saya cuma lebih bernasib baik daripada mereka,” kata Son tapi ia jelas tidak bertepatan. Mereka yang mengenalinya bercakap mengenai kesungguhan seorang pemain yang membara.

“Keputusan untuk ke Jerman adalah sukar, sama seperti di Portsmouth dan Blackburn,” ujarnya. “Tapi saya perlu mengharunginya kerana peluang seperti itu tidak datang setiap hari.

“Saya tidak berasa bersedia tapi saya mahu bermain di Eropah dan suatu hari saya mahu bermain dalam Liga Perdana Inggeris.

“Saya memberitahu diri sendiri bahawa saya harus cuba mencapai impian saya,” katanya menutup cerita.

Bukan pun impian melainkan ia sudah menjadi realiti.

Advertisement

Must Watch Video