Skip to main content

Rencana

Sokong TMJ dalam membuat perubahan

tmj_1.jpg
Kegagalan skuad Harimau Malaya mencipta sebarang kemenangan di bawah kendalian Nelo Vingada dalam saingan kelayakan Piala Asia dan perlawanan persahabatan, mengundang kegelisahan peminat-peminat bola sepak tanah air.
 
Faktor itu jugalah menyebabkan kedudukan Harimau Malaya di dalam carta FIFA jatuh merudum sehingga tangga ke-174 dan merupakan kedudukan terburuk Harimau Malaya dalam ranking berkenaan. 
 
Dengan faktor itu jugalah kedengaran suara-suara yang mula tidak berpuas hati dengan kepimpinan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang baharu.
 
 Sudah ada desakan daripada peminat-peminat supaya Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, meletakan jawatannya walaupun beliau dan ahli exconya baharu beberapa bulan sahaja mentadbir FAM.
 
Sikap dendam dan tidak sabar dalam membentuk perubahan dalam sistem dan struktur pembangunan bola sepak itu menyebabkan ramai peminat-peminat bola sepak tidak mampu mengawal emosi dan pemikiran mereka sehingga sanggup mengambil tindakan di luar batasan kerana inginkan kejayaan yang mudah dan sekelip mata.
 
Benar kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaludin, berilah peluang dan masa serta sokongan kepada Tunku Ismail untuk merubah sistem bola sepak negara yang sudah sekian lama lari daripada landasannya.
 
Apatah lagi minda yang perlu diubah dalam urus tadbir FAM dan persatuan-persatuan negeri serta kelab dalam membangunkan bola sepak negara, terutama dalam melahirkan pemain-pemain bertaraf dunia, baik dalam aspek teknikal dan pemikiran mereka.
 
Janganlah menjadi seperti "anjing menyalak bukit", hanya pandai bising tetapi tidak ada tindakan yang diambil oleh individu-individu tertentu yang cintakan bola sepak negara dalam membantu membangunkan bola sepak negara.
 
Ubahlah minda pemikiran kita dan lihatlah diri kita sendiri dan bertanya di dalam hati, apakah diri ini boleh merubah cara pemikiran dan membantu dalam membangunkan bola sepak dengan bermula di rumah, terutama dalam aspek pemakanan terlebih dahulu. 
 
Sekiranya ini dapat dilakukan, penulis yakin Malaysia suatu hari nanti mampu memberikan impak yang sungguh besar dalam bola sepak di mata duni, kerana apa yang pasti, Malaysia tidak ketandusan bakat-bakat besar.
 
Ini diakui sendiri oleh pelatih-pelatih akar umbi dari negara-negara luar yang bersama-sama Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) ketika ini. 
 
Ayuh pencinta-pencinta bola sepak Malaysia, berilah sokongan kepada Presiden FAM untuk merubah landskap bola sepak negara, terutama dalam aspek pemikiran, sistem serta tindakan dalam pelaksanaan yang mantap di kalangan pentadbir-pentadbir dalam FAM dan persatuan-persatuan negeri serta kelab.
 
Insya-Allah Malaysia pasti berjaya.
 

Advertisement

Must Watch Video