RENCANA
Slot Piala Belia mula dijual?
Setelah dua tahun saingan Piala Belia dan Piala Presiden tidak dapat dijalankan akibat pandemik Covid-19, akhirnya pada musim ini bakat-bakat muda di negara ini boleh menarik nafas lega apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menegaskan bahawa dua pertandingan itu perlu dijalankan kerana ia amat penting bagi masa depan bola sepak negara.
Sejak Piala Presiden diperkenalkan pada 1985, disusuli Piala Belia pada 2008, dua pertandingan ini membantu FAM mempersiapkan pelapis-pelapis untuk dibekalkan ke pasukan negeri atau kelab, selain memberi peluang kepada mereka menimba pengalaman dalam perlawanan kompetitif.
Kejohanan ini juga mengingatkan kembali ingatan penulis ketika mula-mula melibatkan diri dalam kancah bola sepak negara pada 1992, di mana ketika itu setiap ahli gabungan FAM wajib menyediakan pemain-pemain pelapis yang berkualiti untuk diketengahkan.
Iklan
Pada ketika itu juga penulis suka melihat bagaimana peranan yang dimainkan Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) dengan menyediakan satu program pembangunan bakat mantap yang melahirkan antara lain Azmin Azram Abdul Aziz, Azrul Amri Burhan dan T. Gopinath Naidu.
Pada ketika itu setiap persatuan begitu gigih menjalankan tanggungjawab mereka dengan begitu tekun dan sabar untuk melahirkan pemain-pemain berkualti serta memastikan kebajikan pemain muda juga terus terpilihara.
Namun kini sudah berbeza. Penulis mendapat maklumat ada antara ahli gabungan FAM yang menjual slot Piala Presiden dan Piala Belia kepada pemain muda.
Ini kerana mereka mahu menyelamatkan diri daripada dikenakan tindakan daripada FAM sekiranya tidak menghantar pasukan bertanding dalam kedua-dua kejohanan itu. Pada pemerhatian penulis ia satu tindakan yang kurang bijak semata-mata hanya kerana ingin menjaga nama, mereka sanggup menggadaikan masa depan anak-anak muda ini.
Ada antara pasukan itu dikatakan telah menjalinkan kerjasama dengan universiti-universiti swasta tempatan (IPTS) demi kelangsungan persatuan mereka, di mana kelab itu telah menyerahkan terus slot pertandingan itu pada institusi berkenaan tanpa sebarang perjanjian penajaan atau sebagainya yang tidak boleh memberi jaminan kekuatan kewangan kelab itu sendiri pada masa depan.
Berikut adalah sebab-sebab penulis berasakan tindakan menjual slot ini menjejaskan pembangunan bola sepak Malaysia.
1. Pemain diwajibkan mengambil krusus di IPTS itu selama enam bulan serta dikenakan bayaran yang telah ditetapkan IPTS itu dan sudah tentu ia akan membebankan pemain dan keluarga mereka.
2. Tidak ada jaminan kepada pemain untuk terus kekal bersama kelab itu untuk diserapkan pada pasukan lebih senior kerana setiap tahun mereka akan menukar pemain demi perniagaan mereka.
3. Risiko kepada pemain sekiranya tidak ada pembayaran elaun dilakukan oleh pihak kelab kepada pemain.
4. Tidak ada keuntungan kepada kelab itu sendiri dalam menjamin kekuatan kewangan kelab pada masa hadapan kerana ia melibatkan pihak ketiga yang mengambil keuntugan.
Sekiranya trend ini tidak disekat oleh FAM, terutama unit pertandingan dan Perlesenan Kelab MFL, ia akan memburukkan lagi imej FAM dan MFL sendiri.
Ia mengingatkan kembali penulis bagaimana Kuantan FA dan Marcerra United FC yang menggunakan kaedah yang sama dan akhirnya pemain-pemain serta jurulatih yang menjadi mangsa. Begitu juga dengan IPTA yang melibatkan diri dalam kancah bola sepak tanah air, akhirnya kelab IPTA itu tidak bertahan lama dan menarik diri daripada liga tempatan kerana masalah kewangan.
Situasi ini perlu dibendung dan dilihat dengan serius oleh badan induk bola sepak negara sekiranya ingin menerapkan unsur profesionalisme sejati. Selamatkanlah bakat-bakat muda ini daripada terus dijadikan mangsa oleh mereka yang rakus dalam mengaut keuntungan dan kepentingan diri sendiri.
Usah perjudikan nasib dan masa depan ubi-ubi muda!
Must-Watch Video