Legenda Kedah, Khyril Muhymeen Zambri, mendedahkan pernah menerima tawaran 'tidak masuk akal' oleh juara Liga Super 11 kali berturut-turut, Johor Darul Ta'zim (JDT) pada 2012.
Bekas penyerang Harimau Malaya itu terkenal dengan kelincahan di depan gawang, selain memiliki rembatan deras dan menjadi watak utama Sang Kenari suatu ketika dahulu.
Advertisement
Kejuaraan Piala Malaysia dan Piala FA antara pencapaian paling membanggakan buat dirinya.
Selangor, PKNS dan Negeri Sembilan antara pasukan yang pernah diwakilinya sepanjang bergelar pemain bola sepak.
Dalam satu sesi audio siar (podcast), bekas tonggak Harimau Malaya itu mengakui menerima tawaran lumayan daripada Harimau Selatan ketika kariernya sedang berkembang pesat.
"JDT pernah datang kepada saya. Waktu itu, JDT tawar dengan harga tidak masuk akal.
"Kita fahamlah JDT bagaimana kan.
"Ia seperti mampu mengubah hidup kita," katanya.
Namun, Khyril mengambil keputusan untuk menolak kontrak tersebut atas masalah peribadi.
Jelasnya, faktor perginya seorang ibu membuatkannya tidak lagi bersemangat bermain bola sepak. Selain itu, dia juga masih memiliki perjanjian bersama Kedah waktu itu.
"Saya ada berbincang dengan pihak pengurusan untuk berehat selama satu tahun. Saya seperti tiada moral sebab ibu saya sudah meninggal.
"Saya menghargai dengan harga yang diberikan, tetapi saya memaklumkan kepada JDT bahawa saya terpaksa tolak," tambahnya.
