DPMM FC memulakan kempen Liga Super 2026/2027 dengan kemenangan penuh dramatik apabila menundukkan Penang FC 1-0 dalam aksi pembukaan di Stadium Bandaraya, petang tadi.
Bukan sahaja terpaksa beraksi dalam cuaca panas mencecah 33 darjah Celsius, DPMM turut kehilangan seorang pemain pada babak kedua sebelum berjaya mempertahankan kelebihan sehingga wisel penamat.
Penang terlebih dahulu dikejutkan dengan layangan kad merah kepada pertahanan kiri Fazly Mazlan pada minit ke-43 selepas semakan VAR mendapati terjahan kerasnya terhadap Miguel Oliveira wajar dikenakan hukuman tersebut.
Kelebihan seorang pemain dimanfaatkan DPMM pada babak kedua apabila Miguel Oliveira memecah kebuntuan pada minit ke-63.
Penyerang itu bijak mengambil kesempatan daripada kekalutan di depan gawang Penang sebelum melepaskan rembatan yang menewaskan pertahanan tuan rumah.
Bagaimanapun, kelebihan DPMM tidak bertahan lama apabila mereka turut kehilangan pemain pada minit ke-75.
Tommy Mawat Bada menerima kad kuning kedua selepas mengasari pemain gantian Penang, Khala’if Naskam, sekali gus menyaksikan kedua-dua pasukan beraksi dengan 10 pemain.
Penang kemudian meningkatkan tekanan untuk memburu gol penyamaan, namun pertahanan DPMM kekal kental menahan asakan sehingga tamat perlawanan.
Lebih menarik, kedua-dua pasukan sebenarnya masing-masing mempunyai jaringan yang dibatalkan VAR sepanjang perlawanan.
Jarvey Gayoso menyangka sudah membuka jaringan buat Penang pada minit kelapan, namun golnya dibatalkan kerana ofsaid, manakala DPMM turut dinafikan gol Dalberto Belo atas sebab sama.
Namun, satu gol Oliveira akhirnya sudah memadai buat DPMM membawa pulang tiga mata pertama musim ini.