Jurulatih beregu profesional negara, Ameer Zainuddin, menegaskan kekalahan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani kelmarin berpunca daripada kesilapan sendiri.
Menurutnya, pendekatan Fei-Din berjalan dengan baik dan menganggap tiada jurang besar di antara mereka berdepan pasangan ranking nombor satu dunia, Kim Won Ho-Seo Seung-jae, dalam Kejohanan Dunia di India itu.
Sebagai jurulatih, dia mengakui kecewa apabila gandingan Fei-Din tersungkur dalam suku akhir tetapi tetap melihat ke hadapan untuk memastikan beregu lelaki negara itu terus bangkit dan mencatat keputusan lebih baik selepas ini.
Biarpun harapan untuk melihat Fei-Din melangkah lebih jauh dalam Kejohanan Dunia tidak kesampaian, gandingan tersebut memperbaiki pencapaian Kejohanan Dunia edisi lalu selepas terkandas dalam pusingan ketiga.
"Di peringkat ini, siapa yang buat persiapan lebih rapi (berpeluang cerah untuk mara).
"Kami bermain dengan baik hari ini cuma (tewas gara-gara) kesilapan sendiri.
"Ia sedikit sebanyak mengganggu mereka.
"Mereka telah berikan yang terbaik dan perlu kembali lebih kuat untuk kejohanan seterusnya," katanya.