RENCANA
Sirih pulang ke gagang
Tatkala pasukan lain giat menguatkan barisan dengan beberapa nama besar tempatan menjelang Liga super 2021, Kuala Lumpur atau akan dikenali sebagai Kuala Lumpur United FC musim depan mengambil pendekatan berbeza.
Bermula dengan pelantikan bekas pemainnya Stanley Bernard sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Kuala Lumpur kemudian membawa pulang dua anak jati 'Warga Kota', Safee Sali dan Hadin Azman untuk saingan musim 2021.
Sudah pasti ramai yang akan buat tanggapan, Safee sudah melepasi prestasi terbaiknya dan akan berusia 37 tahun pada musim depan.
Iklan
Namun, penulis percaya bekas penjaring terbanyak Piala Suzuki AFF 2010 itu mampu memberi kesan positif buat Kuala Lumpur bersama-sama dengan dua lagi 'Otai' iaitu Shukor Adan dan Indra Putra Mahayuddin.
Ketiga-tiga bekas tonggak kebangsaan itu bukan hanya masih mampu mengerah kudrat di atas padang tetapi mampu menjadi pemain mentor buat pemain-pemain lebih muda dalam pasukan.
Hadin yang cemerlang bersama Kedah musim lalu, dijangka turut mampu menambah keampuhan pasukan di bahagian sayap dan menambah pilihan buat jurulatih baru Kuala Lumpur, Simon Elissetche.
Meskipun tidak pernah bersama skuad warga kota sebelum ini, bekas pelajar Sekolah Menengah Victoria itu adalah anak jati Kuala Lumpur dan sudah pun melaungkan keazamannya membantu pasukan mencapai kejayaan bagi memastikan impian untuk kembali ke skuad Harimau Malaya tercapai.
Difahamkan seorang lagi bekas pemain Kuala Lumpur, Irfan Zakaria kini dalam rundingan akhir untuk kembali ke pasukan asalnya dan jika terlaksana, pertahanan kebangsaan itu dijangka menguatkan benteng pasukan.
Apa yang penting kini adalah untuk Kuala Lumpur mendapatkan awang import berkualiti dalam usaha memastikan mereka mampu memberi cabaran kuat di Liga Super 2021.
Must-Watch Video