Skip to main content

Rencana

Sikap rosakkan reputasi sendiri

malaysiad4405c083d81604aa734ff0000212b38.jpg

Kegagalan Skuad Harimau Malaysia mengekalkan konsistensi dalam persembahan ketika berhadapan pasukan Papua New Guinea mengundang pelbagai rungutan dan herdikan daripada peminat-peminat bola sepak negara. 

Setelah menunjukkan aksi yang baik ketika bertemu Timor Leste pada play-off kelayakan Piala Asia namun apabila berhadapan dengan pasukan kedudukan carta dunia lebih bawah daripada Harimau Malaysia seolah-olah hilang punca.

Berdasarkan keputusan dan laporan yang diterima, ia menunjukkan pasukan Harimau Malaysia tidak mampu memberi saingan kepada pasukan Papua New Guinea. Kenapa ini semua terjadi dan apakah punca sebenarnya.

Sekali lagi ini menjadi persoalan dan bermain dalam pemikiran saya, kalau kita melihat daripada reputasi pemain, memang boleh dikatakan kelompok terbaik yang Malaysia miliki buat masa ini, namun persembahan mereka begitu mengecewakan semasa pertemuan dengan Papua New Guinea.

Apakah lawan lebih baik dari kita atau sikap pemain-pemain kita yang tidak bersedia dari segi mental untuk berhadapan dengan misi jelajah perlawanan persahabatan itu.

Sekiranya diambil kira dari ulasan jurulatih Kebangsaan sendiri, ia mengambarkan bahawa sikap segelintir pemain-pemain kita sendiri yang tidak menunjukkan mereka bersedia dari segi mental dan fizikal. 

Adakah ini sikap seorang atlet professional yang telah diberikan pelbagai kemudahan dan kemewahan sebagaimana yang mereka inginkan atau memang mereka sengaja dengan sikap sambil lewa apabila berhadapan dengan sebuah pasukan yang kedudukan tangga dunia yang jauh lebih rendah dari Malaysia serta tidak mempunyai fasiliti yang hebat sebagaimana di Malaysia.

Sekiranya benar, sikap begini perlu dikikis dari diri mereka kerana sebagai seorang profesional, mereka perlu faham tugas kerja mereka.

Sikap begini sudah pasti akan merosakkan diri mereka sendiri dan mereka perlu ingat bahawa mereka juga menjadi contoh kepada generasi akan datang.

Ikutlah sikap pemain-pemain profesional di barat, jadikan ia sebagai budaya sebagaimana pemain-pemain Jepun dan Korea Selatan. 

Jangan hanya pandai ikut apa yang dipakai oleh pemain-pemain profesional di barat sahaja tetapi sikap dan cara pemikiran mereka tidak diikuti. 

Lihat diri sendiri dan nilaikan ia, Adakah aku ini seorang pemain profesional.

Advertisement

Must Watch Video