RENCANA
Sejam bersama Annie Choong
Sebulan lalu, penerbit saya, Lukman Salleh memberikan amanah dan tugasan kepada saya sebelum beliau berlepas ke Kunshan, China untuk membuat liputan kejohanan Piala Thomas & Uber 2016. Ying, I have already called Annie Choong, can you please call and follow up with her to arrange for an interview? (Saya sudah menelefon Annie Choong, boleh kamu buat panggilan susulan untuk menemuramah beliau?) Itu sedutan perbualan telefon Lukman kepada saya untuk menemuramah Annie. Di hati, tertanya-tanya siapakah Annie?
Selepas soalan susulan, barulah saya mengetahui, Annie merupakan Olympian wanita pertama Malaysia dan satu-satunya atlit wanita negara yang beraksi di temasya Sukan Olimpik 1956 di Melbourne, Australia.
Cemas, takut dan teruja menyelubungi diri saya mendapat tugasan ini. Beberapa percubaan untuk menghubungi Annie gagal sehinggalah akhirnya, Annie menjawab panggilan saya dan sudi untuk ditemubual.
Iklan
Hari yang dinantikan untuk menemuramah Annie akhirnya kunjung tiba pada 1 Jun 2016. Saya bersama krew kamera, Nizam Baharuddin dan wartawan Nadi Arena, Amira Ibrahim ke rumah Annie sendiri untuk berjumpa beliau.
Dalam perjalanan ke sana, terlintas di fikiran bagaimana agaknya rupa Annie? Adakah dia seorang yang peramah? Cergas lagi ke? Kerana umurnya sudah pun menjangkau 82 tahun!!!
Tiba sahaja di rumah Annie, teruja menanti beliau membuka pintu sambil berfikir, oh cergas lagi Annie ni. Cukup ceria wajah Annie menyambut kedatangan kami. Masuk sahaja ke dalam rumah Annie, mesti anda semua terpegun. Ruang tamunya dipenuhi gambar dan keratan akhbar selaku Olympian wanita pertama negara di Sukan Olimpik. Cukup mengamit sekali perhiasan yang diletakkan di ruang tamu.
Selepas berkomunikasi dan berinteraksi, kami mula mengenali wanita yang bernama Annie Choong. Annie merupakan atlit olahraga negara yang layak ke Sukan Olimpik dalam acara 100m, 200m & lompat jauh. Beliau turut menceritakan bagaimana dia mengumpul dana untuk membiayai tiket penerbangan ke Australia. Bayangkan usaha dan pengorbanan atlit ketika itu untuk berjaya!
Sesuatu yang lebih menarik, Annie turut terlibat dalam sukan permotoran selepas bersara dari sukan olahraga. Cukup teruja mendengar penceritaan seorang Olympian mengenai kisah kehidupannya. Walaupun sudah berumur, Annie masih lagi aktif bersukan dan memenuhi masa lapangnya dengan aktiviti di gereja.
Sejam bersama Annie membuatkan saya berfikir betapa atlit zaman kini perlu bersyukur apa yang ada. Infrastruktur dan teknologi canggih yang dimiliki ketika ini perlu dimanfaat sepenuhnya dalam usaha menghasilkan kejayaan. Bukan sekadar lena dibuai teknologi canggih sahaja!
Must-Watch Video