Skip to main content

Rencana

Saya doa Malaysia kalah di Filipina -- Suhaimi

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

suhaimi-takraw_1.jpg
Itu kenyataan yang berani diucap oleh Suhaimi, nama yang bukan asing dalam dunia sepak takraw negara, sering dilabel watak pemberontak (antagonis) memandangkan dalam kalangan bekas dan pegawai sepak takraw, dia adalah antara individu yang paling konsisten mengkritik Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dan prestasi merosot skuad kebangsaan.

"Abang betul-betul maksudkannya? Ini boleh saya siarkan kepada umum?" saya bertanya sama ada Suhaimi benar-benar sedar apa implikasi daripada ungkapan tersebut.

"Kau nak record (rakam) ke, nak letak tunjuk dalam tv ke, terpulang, aku memang dah pendam lama," bentak Suhaimi ketika ditemubual saya mengenai prestasi skuad kebangsaan di Bangkok untuk kempen Piala Raja Thai 2019.

Ini bukan kali pertama Suhaimi membuat ungkapan dan doa sedemikian terhadap skuad negara, dia pernah membuat kenyataan sama ketika 2010 untuk satu tembual dengan salah satu stesen televisyen tempatan.

“Aku cakap ni bukan aku nak rendahkan pemain, aku tahu semua dalam tu cuba bagi yang terbaik untuk Malaysia tetapi aku marahkan pengurusan, aku marahkan barisan jurulatih."

“Aku sayang sepak takraw, benda lain aku tak tahu tetapi sukan ini adalah satu-satu benda yang Tuhan kasi anugerah dekat aku, jadi bila jadi macam ni, dah bertahun-tahun tiada perubahan, siapa tak kecewa?”

Malaysia tamatkan kempen di Bangkok dengan penuh kedukaan, apatah ia disulami dengan kontroversi ketiadaan dua pemain tekong, Mohd Syahir Rosdi dan Zulkifli yang digugurkan kerana masalah dan kemudian mereka pula buat keputusan drastik bersara kerana berasa dimanipulasi oleh PSM.

Untuk edisi Piala Raja Thai 2019, Malaysia bukan sahaja gagal menumbangkan seteru Thailand dalam acara regu, malah tunduk kepada Indonesia dalam aksi separuh akhir untuk acara berpasukan, yang menyaksikan Malaysia sekadar bawa pulang 3 gangsa, salah satunya dari aksi acara “doubles”.

Terlihat Suhaimi ketika mengungkapkan butir-butir ayatnya, matanya berkaca dan bergenang, sambil dadanya berombak menahan marah. Suhaimi adalah antara individu yang membarisi skuad emas Sukan Asia Bejing 1990, dimana ketika itu sepak takraw menjadi penyelamat kontijen Malaysia dengan raih dua emas.

"Aku kalau cerita bab sepak takraw ni aku jadi marah tetapi untuk kebaikan kena ada orang bersuara," Suhaimi mengomel sambil tersengih. Banyak perkara terpaksa saya tapis namun ada perkara diperkatakan Suhaimi berasas.

Sepak takraw adalah sukan tradisi dan warisan yang dalam masa sama sudah menyelit kisah pengajaran buat semua. 

Kontroversi demi kontroversi berlaku dan hanya menyebabkan perpecahan antara peminat dan persatuan, janganlah hendaknya ia berkesudahan seperti kisah Raja Muhammad yang membunuh Tun Besar gara-gara destarnya jatuh ke tanah kerana terkena raga yang disepak.

 

Advertisement

Must Watch Video