Skip to main content

Rencana

Sangkar emas Neymar, Pogba, Coutinho

sangkar-cover.jpg
Masa semakin suntuk buat Neymar, Paul Pogba dan Philippe Coutinho untuk bertukar pasukan – dengan jendela perpindahan Liga Perdana Inggeris (EPL) tamat tengah malam ini.

Seterusnya, ini akan disusuli penutup jendela perpindahan Liga Itali pada 23 Ogos dan selebihnya di Sepanyol, Perancis dan Jerman pada 2 September depan.



Dalam pada ketiga-tiga pemain itu berada dalam situasi berbeza, namun persamaannya ialah masa semakin mencemburui dalam menentukan masa depan masing-masing sambil pilihan mereka juga kian terhad.

Ketiga-tiga kelab mereka, Paris Saint-Germain (PSG), Manchester United dan Barcelona, enggan melepaskan mereka pada harga di bawah pasaran, yang menyukarkan mana-mana kelab yang berminat untuk memenuhi tanda harga yang ditetapkan.

Bagi Neymar, selepas semusim yang harus dilupakan bersama PSG – yang ditandai siri kecederaan dan isu-isu di luar padang – hasratnya untuk kembali ke kancah Sepanyol tidak semudah yang diharapkannya.

Mac lalu, MARCA mendedahkan Neymar sekali lagi memasang angan-angan untuk menyertai Real Madrid – sebelum menyertai Barcelona pada 2013 lagi, dia dan bapanya meminati kedua-dua Los Blancos dan Blaugrana.



Tapi dek gejolak perasaannya untuk keluar dari Paris menjelang musim panas ini sambil minat Real Madrid mula menurun, Neymar berubah niat untuk kembali menyertai Barcelona.

Namun, di sinilah masalahnya bermula kerana Presiden PSG, Nasser Al-Khelaifi, enggan melepaskan penyerang berusia 27 tahun itu kecuali mendapat semula €222 juta (RM1.4 bilion) yang dibayarnya kepada Barcelona pada 2013.

Hakikatnya ketika ini ialah tiada mana-mana kelab yang bersedia memenuhi tanda harga €300 juta (RM1.41 bilion) yang diletakkan PSG di atas kepala Neymar. Kalau Barca tergamak pun, gajinya sebanyak €34 juta (RM160j) setahun akan jadi amat menakutkan.

Dalam situasi hampir serupa ialah Pogba.

Manchester United seboleh-bolehnya enggan kehilangan bintang mereka itu, dengan kecenderungan Ole Gunnar Solskjaer membentuk semula pasukan di sekeliling tonggak Perancis itu.

Dan hanya empat tahun lalu, apabila Pogba memilih untuk kembali ke Manchester, dia menolak kemungkinan menyertai Real Madrid atas sebab-sebab yang hanya diketahuinya.
 
Namun, kini pemain tengah berusia 26 tahun itu didorong gejolak untuk ke Santiago Bernabeu, yang mengundang tindak balas United dengan meletakkan tanda harga €200 juta (RM943j) di samping gaji €14 juta (RM66j) setahunnya bagi menakutkan sebarang pembida.

Halangannya ialah Presiden Real Madrid, Florentino Perez, enggan bersetuju dengan harga dua kali ganda daripada yang dibayar United kepada Juventus ketika mendapatkannya dulu.

Sebaliknya, Coutinho, 27, pula memang mahu dijual Barcelona dengan dana yang diraih dapat menampung pembelian pemain lain.

Cuma, berbeza dengan Neymar dan Pogba, pemain itu sendiri enggan ke mana-mana. Sekalipun terpaksa pergi, Coutinho seboleh-bolehnya enggan ke mana-mana kelab EPL melainkan Liverpool, yang ditinggalkannya pada Januari 2018.

Dilaporkan terdapat juga minat daripada kelab Itali tapi tiada kebarangkalian kelab Serie A akan bersetuju terhadap tanda harga €100 juta (RM471j) ke atasnya yang dituntut Barca.

Disukainya atau tidak, Coutinho tidak dapat mengelak rasa terkurung dalam sangkar emas – sama seperti Neymar, Pogba dan harus tidak ketinggalan juga, Gareth Bale.
 

Kredit imej: MARCA

 
 
 

Advertisement

Must Watch Video