Skip to main content

Rencana

Salah persalahkan Guardiola

salah-cover.jpg
Mana satu lebih bernilai – kejuaraan domestik atau beraja di peringkat Eropah?

Mohamed Salah mempertahankan trofi Liga Juara-Juara UEFA (UCL) mengatasi segala yang lain sambil Pep Guardiola berkeras bahawa kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) terkanan daripada segi keutamaan.

Ia sebenarnya berkisar kepada salah satu yang masing-masing tidak miliki, lantas membawa kepada perdebatan sedemikian rupa.

Bersempena dengan undian musim baru UCL tengah malam tadi, penyerang Liverpool dan pengurus Manchester City berkenaan menghangatkan perdebatan pencapaian manakah yang lebih menuntut pengiktirafan.

Ia seharusnya bukan pun satu isu jika trofi UCL menjadi kemuncak kepada kejayaan ‘treble’ – Piala Liga, Piala FA dan trofi EPL – yang didakap City sebagai penutup musim lalu.

Atau Liverpool lebih dahulu mengakhiri penantian 29 tahunnya untuk merajai EPL semula pada musim yang sama ia menundukkan Tottenham Hotspur dalam final di Madrid untuk bergelar juara Eropah buat kali keenam.

Awal bulan ini, Guardiola menimbulkan perdebatan dengan menyatakan, jika diberi pilihan untuk salah satu, dia memilih untuk mengungguli kancah liga Inggeris berbanding kejayaan di peringkat Eropah.

Lebih daripada itu, pengurus kelahiran Catalan itu seakan-akan memperkecilkan kejayaan Liverpool itu dengan mengumpamakannya dengan kunjungan ke kasino dan lebih bertuah di meja ‘roulette’.



Dibandingkan dengan EPL yang membabitkan 38 perlawanan berdepan lawan domestik, Liverpool pula turun beraksi dalam 13 perlawanan untuk menjuarai UCL dengan kemaraan daripada kumpulan yang mengandungi Paris Saint-Germain (PSG), Napoli dan Red Star Belgrade dalam laluan untuk menundukkan  Bayern Munich, Porto, Barcelona dan Tottenham.

“Sejujurnya, saya tidak tahu dia (Guardiola) mengatakan demikian,” kata Salah dalam satu temu bual eksklusif dengan Becky Anderson daripada CNN dari pusat latihan Liverpool di Melwood.

“Tapi saya fikir, jika dia diberi pilihan untuk salah satu, dia pastinya akan memilih Liga Juara-Juara,” katanya menyindir. “Prestij memenangi UCL dengan sendirinya menenggelami kejayaan domestik.”

Tambahnya, “Ia (UCL) adalah pertandingan terbesar dalam bola sepak, maka semua orang mahu memenanginya.

“Setiap jurulatih, setiap pemain mahu memenanginya atau sekurang-kurangnya mengimpikannya. Sudah tentu EPL juga sesuatu yang besar tapi UCL masih yang terbesar daripada semua.”



Barangkali juga perbandingan yang dibuat Guardiola itu didorong oleh kekecewaannya dek kejayaan ‘treble’ City seakan-akan kurang mengundang kekaguman dan pengiktirafan yang diharapkannya.

Menang tiga kejuaraan semusim tapi trofi UCL juga yang dipandang orang – begitulah kira-kiranya.
Guardiola harus lebih tahu sebabnya setelah dua kali menjuarai UCL ketika mengemudi Barcelona – kali terakhir pada 2011.

Dan barangkali juga persepsinya akan bertukar andai City mengakhiri penantian untuk menjulang kejuaraan UCL musim ini.

Sehingga itu berlaku, Salah akan dipandang salah dari kaca matanya.

Advertisement

Must Watch Video