RENCANA
Saingan sengit WWE Royal Rumble kembali lagi
Melazimi tradisi sebagai pembuka tirai dalam perjalanan menuju ke Wrestlemania, perlawanan dan acara yang paling dinanti-nantikan iaitu WWE Royal Rumble 2021 akan bersiaran secara langsung pada 1 Februari ini (Isnin) dari WWE Thunderdome, Tropicana Field Stadium di Florida, Amerika Syarikat.
Biar pun tahun ini sedikit janggal kerana acara gilang-gemilang ini tanpa kehadiran penonton secara langsung akibat pandemik COVID-19 yang masih mencengkam, namun ia tetap akan diteruskan di mana perlawanan pada tahun ini tidak kurang sengitnya dan sukar untuk dijangka siapa yang akan menjadi pemenang dalam perlawanan tempur raksasa diraja ini nanti.
Sepertimana beberapa tahun lalu, dua perlawanan penyingkiran Royal Rumble akan berlangsung bagi divisyen lelaki dan wanita, menyaksikan 30 bintang lelaki serta 30 bintang wanita akan berentap bagi memperoleh tiket sebagai pencabar utama kejuaraan di acara Wrestlemania pada 29 Mac depan.
Iklan
Bagi divisyen wanita, sekurang-kurangnya 12 nama telah mengesahkan tempat untuk bersaing pada tahun ini iaitu Shayna Baszler, Alexa Bliss, Peyton Royce, Bianca Belair, Bayley, Charlotte Flair, Nia Jax, Mandy Rose, Dana Brooke, Tamina, Liv Morgan dan Ruby Riott. Dengan 18 slot yang masih belum dinamakan, bermakna ramai lagi bintang dan legenda yang dijangka tampil untuk membuat kejutan sebagai peserta dalam perlawanan penyingkiran ini nanti.
![](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/http://stadiumastro-kentico.s3.amazonaws.com/stadiumastro/media/sa-images/2021/01-january/28/wwe-royal-rumble-1.jpg)
Tumpuan pastinya terarah kepada bintang hebat seperti Daniel Bryan, AJ Styles, Randy Orton dan Edge. Sebagai bekas pemenang Rumble dalam edisi terdahulu, Orton dan Edge sebagai orang lama pastinya tahu selok belok dan mampu mengatur strategi ampuh untuk memenangi perlawanan ini nanti. Tambahan pula Orton yang telah memenangi perlawanan ini pada edisi 2009 dan 2017. Pastinya The Viper ingin menyaingi rekod yang disandang Stone Cold Steve Austin yang memegang rekod sebagai pemenang paling banyak iaitu pada tahun 1997, 1998 dan 2001.
Juga yang dinanti-nantikan, siapakah peserta kejutan yang akan menghiasi Royal Rumble kali ini? Selain bintang legenda, spekulasi bertiup kencang mengatakan bakal ada bintang dari luar WWE yang turut sama akan bersaing dalam kejohanan kali ini. Terdapat cakap-cakap, nama seperti Jay White yang sebelum ini aktif mencipta nama di New Japan Pro Wrestling akan muncul membuat kejutan sepertimana yang pernah dicetuskan oleh AJ Styles pada tahun 2016.
Di samping perlawanan Royal Rumble, Kejuaraan WWE dan Universal WWE turut akan dipertandingkan dalam acara ini nanti. Juara Universal WWE yang kini semakin bermaharajalela iaitu Roman Reigns sekali lagi akan menerima tentangan daripada Kevin Owens dalam perlawanan Last Man Standing. Setelah tewas dan teruk dibelasah dalam beberapa pertemuan sebelum ini, Owens pastinya akan menggunakan peluang terakhir ini untuk melunaskan segala kesumatnya yang terpendam ke atas Roman yang dari sehari ke sehari semakin angkuh dan berperilaku keji dalam memastikan takhtanya sebagai juara terus terpelihara.
![](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/http://stadiumastro-kentico.s3.amazonaws.com/stadiumastro/media/sa-images/2021/01-january/28/wwe-royal-rumble-2.jpg)
Semua persoalan akan terjawab di acara WWE Royal Rumble 2021 pada pagi Isnin depan. Jangan lupa temujanji bersama acara ini seawal jam 5.00 pagi bagi merasai debaran dan elemen dramatik yang mengujakan, seterusnya memulakan perjalanan ke Wrestlemania.
(Foto: WWE.com)
Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network. Saksikan acara acara WWE Royal Rumble pada 1 Februari ini dan kesemua acara WWE Pay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusif WWE Network, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.
Must-Watch Video