Skip to main content

Permotoran

Arash, Iqbal sasar keputusan lebih baik di Jempol

Arash, Iqbal Sasar Keputusan Lebih Baik Di Jempol

Walaupun berjaya meraih dua podium dalam dua pusingan pertama musim ini, pelumba AHM IPONE Racing Team, Arash Tsunami Kamarudin enggan terlalu cepat berpuas hati dengan pencapaiannya dalam kategori CP125 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysia Cub Prix.

Arash yang menamatkan kedua-dua perlumbaan terdahulu di tempat ketiga menganggap pencapaian tersebut bukanlah aksi terbaik yang pernah dipamerkannya, malah menyifatkan faktor nasib turut memainkan peranan dalam keputusan yang diraih setakat ini.

Menurutnya, masih banyak aspek yang perlu diperbaiki bagi membolehkannya bersaing secara lebih konsisten di kelompok hadapan dan mencabar kedudukan podium yang lebih tinggi.

“Dua perlumbaan lalu saya hanya bernasib baik. Saya rasa masih belum berada pada tahap terbaik dan masih ada banyak perkara yang perlu diperbaiki. Sasaran saya di Jempol adalah untuk memberikan prestasi yang lebih baik daripada dua pusingan sebelum ini,” katanya.

Pusingan ketiga yang bakal berlangsung di Dataran Seri Jempol hujung minggu ini dijangka menyaksikan persaingan sengit dalam kelas CP125 apabila beberapa pelumba muda semakin menunjukkan peningkatan prestasi dari satu perlumbaan ke satu perlumbaan.

Dalam perkembangan sama, pelumba AHM Motorsports KM+ Racing Lube, Md Iqbal Amri Abdul Malek turut hadir dengan semangat tinggi selepas kembali beraksi musim ini susulan berehat panjang akibat kecederaan serius.

Iqbal yang sebelum ini mengalami patah kaki dalam kemalangan dua tahun lalu mengakui perjalanan untuk kembali ke tahap kompetitif bukan sesuatu yang mudah. Namun, kejayaannya menaiki podium dalam kategori CP150 pada pusingan lalu di Litar Antarabangsa Sepang memberikan suntikan motivasi besar menjelang aksi di Jempol.

Menurutnya, walaupun kesan trauma akibat kemalangan tersebut masih dirasai, keyakinannya semakin meningkat selepas berjaya membuktikan dirinya masih mampu bersaing dengan pelumba-pelumba terbaik negara.

“Memang masih ada sedikit trauma dan kesan daripada kemalangan sebelum ini, tetapi saya cuba mengatasinya sedikit demi sedikit. Podium di Sepang memberi keyakinan kepada saya dan saya berharap dapat mencatat keputusan yang lebih baik di Jempol nanti,” katanya.

Aksi di Dataran Seri Jempol hujung minggu ini pastinya menjadi medan terbaik buat kedua-dua pelumba membuktikan kemampuan masing-masing dalam usaha memperbaiki kedudukan keseluruhan kejuaraan.

Dengan momentum positif yang dimiliki Arash dan Iqbal, peminat Cub Prix boleh menjangkakan saingan yang lebih sengit dalam kedua-dua kategori CP125 dan CP150 apabila tirai pusingan ketiga membuka gelanggang nanti.
 

Anda mungkin berminat dengan

Nike Academy Team (30L) Football Backpack - Black [DV0761-011]

Nike Academy Team (30L) Football Backpack - Black [DV0761-011]

Nike Men's Vomero 18 Road Running Shoes - White [HM6803-109]

Nike Men's Vomero 18 Road Running Shoes - White [HM6803-109]

PUMA ULTRA 5 PLAY FG/AG Adult Spikes Apple Green Grass Football 10768903 [Le Mai.com]

PUMA ULTRA 5 PLAY FG/AG Adult Spikes Apple Green Grass Football 10768903 [Le Mai.com]

Luzz pickleball Paddle Pro 4 Tornazo Carbon Fiber Pickleball Paddle - Dual-Layer Core

Luzz pickleball Paddle Pro 4 Tornazo Carbon Fiber Pickleball Paddle - Dual-Layer Core

PUMA X SQUID GAME AOP Relaxed Football Jersey (New Navy) 63070716

PUMA X SQUID GAME AOP Relaxed Football Jersey (New Navy) 63070716

Must Watch Video