Skip to main content

Rencana

Ronaldo tiada ihsan buat Messi

messi-cover.jpg
Sewaktu Lionel Messi dinobatkan pemain terbaik dalam Majlis Gala The Best FIFA di Teatro all Scala, Milan, Isnin lalu, kelibat Cristiano Ronaldo langsung tidak kelihatan.

Ia cuma kurang dua jam perjalanan berkereta bagi jarak kira-kira 141km dari pangkalan penyerang Juventus itu di Turin, Itali untuk ke Milan.

Dilaporkan FIFA menjangkakan penyerang itu akan hadir bersama rakan sepasukan, Matthijs de Ligt, tapi kegagalannya muncul menimbulkan rasa kurang senang badan bola sepak dunia itu.

Akhbar Sepanyol, Marca, mengandaikan keputusan Ronaldo untuk tidak hadir membayangkan dia mungkin sudah mendengar desas-desus Messi yang akan diumumkan pemenang – dan bukan dirinya atau Virgil Van Dijk – tapi Juventus menawarkan alasan pemain itu cedera.

Mungkin sebagai tindak balas, Ronaldo yang tersenarai dalam Kesebelasan Terbaik FIFA 2019, tidak mendapat pengiktirafan sepatutnya.

Selepas nama setiap seorang daripada Kesebelasan Terbaik itu diumumkan dan mereka menaiki pentas, nama Ronaldo langsung tidak diumumkan – sebaliknya diisytiharkan hanya 10 pemain yang tersenarai.

Messi turut mengundi Ronaldo sebagai nama kedua dalam undian tiga pemain terbaiknya di antara penyerang Liverpool, Sadio Mane, dan pemain Barcelona, Frenkie De Jong.



Sebaliknya, Ronaldo pula menamakan Matthijs de Ligt, De Jong dan Kylian Mbappe dalam susunan 1-2-3 yang dihantarnya.

Sekali imbas ia mungkin tiada kejanggalan tetapi portal Amerika Syarikat, Business Insider, pula mendedahkan Ronaldo sebenarnya tidak pernah mengundi Messi dalam kelompok tiga pemain terbaik dunia bagi sebarang anugerah utama – baik FIFA Best mahupun Ballon d’Or.

Namun, sudah rezeki Messi untuk dimasyhurkan selaku pemain terbaik FIFA buat julung-julung kalinya sejak ia diperkenalkan pada 2016 – berbanding Ronaldo yang memenanginya dua tahun berturut-turut pada 2017 dan 2018.

Perihal Ronaldo tidak mencalonkan Messi bukan pun perkara baru – dia telah melakukannya selama hampir satu dekad.

Undian The Best FIFA diputuskan oleh empat kumpulan berasingan – jurulatih pasukan kebangsaan, kapten pasukan kebangsaan, wakil-wakil media dan orang awam – yang setiap satu mewakili 25 peratus daripada undian akhir.

Begitupun, kedua-duanya – baik Messi mahupun Ronaldo – sama-sama bersalah dengan tidak mengundi calon daripada pasukan lawan sejak beberapa tahun kebelakangan.

Menurut Business Insider lagi, 17 daripada pemain yang diundi Ronaldo sejak 2010 adalah rakan sepasukannya sendiri – cuma tahun ini dia tidak mencalonkan rakan sekelab.



Di pihak Messi pula, undi-undinya juga dikhususkan buat rakan sepasukan. Bagaimanapun, dia turut mencalonkan Frenkie de Jong sepanjang dua tahun lalu di samping turut menyertakan nama Ronaldo.

Namun, apa yang menjadi pemisah kemenangannya dengan Ronaldo bagi anugerah malam Isnin lalu ialah kempen cemerlangnya bersama Barcelona bagi musim 2018/19, yang menyaksikan Messi menyumbat 51 gol dalam semua kejohanan untuk dikalungkan pingat juara La Liga dan juga Supercopa de Espana.

Apa yang menjadi perbezaan ialah tanpa undian Ronaldo sekalipun, Messi masih bergelar pemenang. Sebaliknya, dengan bantuan undian Messi, Ronaldo masih tidak tergamak untuk hadir.

Advertisement

Must Watch Video