Skip to main content

Rencana

Rindu United pada Pogba, Ibrahimovic terubat

zlatanpogba201117.jpg
Dua bulan tersisih akibat kecederaan dalam Liga Juara-Juara Eropah pada September, Paul Pogba kembali dalam kesebelasan utama Manchester United sewaktu berdepan Newcastle United di Old Trafford.

Penampilannya mendapat tepukan gemuruh daripada penyokong yang hadir menyaksikan perlawanan itu.

Biarpun pertama kali beraksi selepas dua bulan berehat, Pogba berjaya mempamerkan prestasi terbaik dengan membantu jaringan pertama Anthony Martial selain meledakkan gol ketiga United pada minit ke 54.

Bagi Zlatan Ibrahimovic pula, biarpun hanya beraksi selama 13 minit, namun impak yang diberikan oleh ‘orang lama’ itu cukup besar. 

Ibrahimovic berjaya melakukan satu percubaan tepat ke arah gol, selain melakukan beberapa hantaran lintang kepada rakan di hadapan gawang lawan.

Kesan yang diberikan Ibrahimovic sewaktu masuk menggantikan Martial dapat dilihat apabila beliau berjaya menaikkan tempo permainan.

Dayang yang menyaksikan perlawanan ini secara langsung turut berasa teruja melihat kembalinya dua tonggak utama skuad The Red Devils itu.

Setidak-tidaknya ia akan mewujudkan persaingan sihat di bahagian tengah di antara Pogba, Maroune Fellaini, Ander Herrera, Nemanja Matic dan juga Michael Carrick. 

Di bahagian serangan pula, Romelu Lukaku tidak boleh lagi berada di zon selesa selepas kembalinya Ibrahimovic dan juga peningkatan prestasi yang dipamerkan Martial dan Marcus Rashford.

Dengan saingan sudah memasuki bulan Disember yang merupakan antara waktu-waktu genting untuk saingan Liga Perdana Inggeris, Jose Mourinho boleh menarik nafas lega dengan senarai pemainnya yang kini bebas kecederaan termasuk Marcus Rojo. 

United juga berada dalam landasan terbaik untuk mempersiapkan pasukan sebelum bertemu musuh setempat yang juga pendahulu liga, Manchester City, pada 11 Disember nanti.
 

Advertisement

Must Watch Video