Skip to main content

Rencana

Ramos si budak jahat Eropah

ramos-1.jpg

Real Madrid membuktikan keunggulan mereka yang tersendiri walaupun berdepan prestasi tidak konsisten dalam kancah LaLiga apabila mengatasi Paris Saint-Germain (PSG) untuk menempah tiket ke suku akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim 2017/18.

Kejayaan itu menyaksikan Los Blancos berpeluang untuk mencipta fenomena dalam usaha untuk muncul selaku pasukan pertama yang menjuarai UCL buat kali ketiga berturut-turut, namun tersingkap satu sejarah baru yang tidak ramai menyedarinya.

Advertisement

Kapten pasukan, Sergio Ramos, memahatkan namanya dalam sejarah UCL dengan cara tersendiri apabila muncul sebagai pemain paling banyak menerima layangan kad di pentas elit Eropah itu.

Kad kuning yang dilayangkan oleh pengadil dari Jerman, Felix Brych, di Parc Des Princes itu menyaksikan pemenang Piala Dunia 2010 bersama Sepanyol itu telah mengutip 37 kad keseluruhan (35 kuning dan 2 merah) hasil daripada 109 penampilan bersama Madrid.



"Kejayaan" Ramos itu membolehkannya memintas kedudukan teratas yang sebelum ini dipegang oleh legenda Manchester United, Paul Scholes, setelah bekas tonggak England itu mengutip 36 kad daripada 124 perlawanan buat The Red Devils.

Ramos kini telah mengutip 116 kad kuning dan 13 kad merah sepanjang kariernya sejak melakukan penampilan sulung bersama skuad senior Sevilla pada 2004.

Bagi musim 2017/18, pertahanan berusia 31 tahun itu telah beraksi selama 2,292 minit buat Los Blancos dan berdasarkan 30 permainan yang telah ditampilkan, Ramos memegang catatan purata 1.7 terjahan dan 1.4 kesalahan bagi setiap perlawanan.

Turut berada dalam senarai 10 pemain paling banyak menerima kad dalam saingan UCL adalah legenda AC Milan, Gennaro Gattuso, yang juga memegang jawatan selaku pengendali Rossoneri ketika ini.

Terkenal dengan perwatakan yang tidak mengenal erti gentar terhadap mana-mana penggempur lawan, Gattuso menduduki tangga keempat dengan 28 kad kuning dan satu kad merah sepanjang 13 tahun menabur bakti di San Siro sebagai pemain.

Apa yang menarik, walaupun jika dinilai aksi di atas padang, tentu bekas rakan sepasukan Ramos, Pepe, berada di kedudukan teratas berdasarkan aksi agresif dan buasnya dalam melakukan terjahan atau kegagalan mengawal emosi.

Bagaimanapun, Pepe kini menghuni tangga ke-10 keseluruhan dengan 24 kad (23 kuning dan satu merah) selepas melakukan penampilan sebanyak 95 kali buat Porto, Madrid dan Besiktas.

Jelas sekali jumlah 37 kad yang dikutip Ramos dalam kariernya di Eropah cukup untuknya memegang status yang mungkin tidak mahu disandang oleh pemain lain, iaitu pemain paling "kotor" di Eropah.

Must Watch Video