Skip to main content

Rencana

P.V. Sindhu buat Malaysia cemburu

sindhu.jpg
India ada juara dunia, Thailand ada, Malaysia masih menanti. 

Sindhu muncul juara dunia perseorangan wanita setelah mencuba buat kali ketiga, juga catat sejarah pemain badminton India pertama bawa pulang pingat emas Kejohanan Badminton Dunia. 

Sikap tidak pernah berputus asa merupakan rahsia kejayaan Sindhu yang menggilis lawan yang pernah menewaskannya di final edisi 2017, Nozomi Okuhara, dari Jepun 21-7, 21-7. 

Pemain berusia 24 tahun tinggi lampai dari Hyderabad itu yang pernah saya menemubual ketika dia beraksi dalam liga badminton Malaysia, Purple League, beberapa tahun lalu juga gagal dalam final tahun lalu. 

Entah di mana datangnya kekuatan mental dan kemahuan yang tidak terhingga secara konsisten untuk capai kejuaraan dunia itu sememangnya menjadi insipirasi kepada semua. 

Malaysia pasti cemburu. 

Cemburu kerana India yang tidak begitu terkenal sebagai kuasa besar badminton suatu ketika dahulu sudah pun memotong Malaysia, nama yang amat dihormati dalam dunia badminton. 

Cemburu kerana negara sepak takraw, Thailand juga telah merangkul kejuaraan dunia melalui juara dunia termuda Ratchanok Intanon pada usia 18 tahun dalam edisi 2013. 

Selain legenda badminton Datuk Lee Chong Wei yang hampir bawa kilauan emas namun 3 kali tersungkur di final, para pemain badminton negara tampak terkial-kial mendukung tanggung jawab kali ini di Switzerland. 

Wakil perseorangan wanita, Soniia Cheah, kalah dalam pusingan kedua dan keputusan terbaik hanyalah di peringkat suku akhir daripada Lee Zii Jia dan Chan Peng Soon/Goh Liu Ying sehingga sebuah akhbar tempatan membuat kesimpulan 7 daripada 12 wakil negara beraksi di bawah keupayaan sebenar. 

Berbalik kepada juara dunia, Sindhu, yang mempunyai kisah cerita berulang-alik setiap hari hampir 60kilometer dari rumah ke lokasi latihan, saya percaya pemain Malaysia juga mempunyai cerita yang lebih menarik dan kemungkinan lebih perit. 

Tetapi tidak kisahlah apa ceritanya, nampaknya pemain India ini menunjukkan komiten dan karakter luar biasa untuk berjaya. 

Malaysia pasti cemburu tetapi cemburu itu penting untuk buat lebih baik. 

Advertisement

Must Watch Video