RENCANA
Pusingan pertama milik JDT
Liga Super 2017 kini sudah memasuki pertengahan saingan setelah berakhirnya perlawanan ke-11 malam tadi yang membabitkan enam perlawanan kesemuanya.
Tiada kejutan, juara bertahan Johor Darul Takzim (JDT) menepati ramalan untuk mengekalkan kedudukan di puncak liga selepas menewaskan Pulau Pinang 2-1 di Stadium Negeri Batu Kawan.
Ia sekaligus menyaksikan pusingan pertama liga milik skuad Harimau Selatan menerusi pungutan 26 mata, lima mata mengatasi pencabar terdekat Pahang tatkala Kedah di tempat ketiga.
Iklan
Penulis sebelum ini secara peribadi berasakan, Kedah selaku juara Piala Malaysia 2016 mampu untuk berada di takhta liga dalam tempoh lama berdasarkan prestasi semasa pasukan dan pemain.
Malah, ada sedikit keyakinan bahawa skuad Lang Merah berupaya untuk menguasai kempen musim ini, namun jangkaan itu tampak meleset selepas pasukan itu terpalit dengan isu jurulatihnya, Tan Cheng Hoe, yang mahu meninggalkan Kedah.
Jadi, kejayaan awal JDT ini memang sesuatu yang menarik memandangkan mereka bermula agak perlahan musim ini di mana ada pada satu ketika pasukan ini bergelut di pertengahan liga.
Skuad Benjamin Mora mula merampas kedudukan pendahulu ketika menundukkan Kelantan 3-2 di Kota Bharu, 12 April lalu sebelum dua kemenangan berikutnya termasuk ke atas Pulau Pinang mengukuhkan cengkaman di persada liga.
Lebih menarik, juara Piala AFC 2015 ini mengekalkan rentetan tujuh kemenangan berturut-turut selepas kali terakhir tewas 1-2 menentang Perak di Stadium Ipoh, 18 Februari lalu.
Saingan Liga Super menjadi peluang tungggal buat JDT untuk meraih slot Piala AFC musim depan setelah gagal mempertahankan kejuaraan Piala FA susulan tumpas agregat 4-3 kepada Pahang di peringkat suku akhir baru-baru ini.
Penulis percaya, misi JDT untuk mengharungi baki 11 perlawanan dengan rentak positif dalam usaha memenangi saingan musim ini pastinya bukan mudah. Mereka perlu berkerja keras apatah lagi akan berlaku perubahan dalam setiap pasukan pada jendela kedua perpindahan pemain Jun ini.
Apa pun, kejayaan awal JDT itu bakal meletakkan mereka di kedudukan pertama dalam balang 1 untuk undian Piala Malaysia nanti bersama Pahang, Kedah dan Perak.
Must-Watch Video