Skip to main content

Rencana

Pogba pemain ‘kebencian’ yang enggan dilepaskan

pogba-cover.jpg
Betapa gilanya bola sepak harus paling tepat dicerminkan oleh situasi Paul Pogba di Manchester United sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Semakin ramai di Old Trafford yang muak dan mual dengan gelagatnya tapi mereka enggan merelakan pemenang Piala Dunia itu angkat kaki tanpa didatangkan pemain yang lebih handal sebagai pengganti.

Terbaru, dilaporkan sekurang-kurangnya tiga kelab gergasi Eropah -- Paris Saint-Germain (PSG), Real Madrid dan Juventus – menagih khidmatnya dengan menawarkan pilihan sehingga 13 pemain sebagai pertukaran ganti.

Julian Draxler, Angel di Maria, James Rodriguez, Martin Odegaard, Lucas Vazquez, Brahim Diaz, Douglas Costa, Miralem Pjanic, Alex Sandro, Aaron Ramsey, Federico Bernardeschi, Gonzalo Higuain dan Adrien Rabiot ditawarkan sebagai pertukaran di samping yuran perpindahan yang boleh dipersetujui.



Apa kata penyokong United?

Tak payahlah kerana lebih baik Pogba dikekalkan saja dengan harapan dia akan berubah menjadi pemain yang ‘insaf’ dan lebih bagus selepas ini.

Malah, satu tinjauan pendapat dalam kalangan penyokong United merumuskan pertukaran sedemikian tidak ubah seperti satu penghinaan buat The Red Devils, yang tidak pun terdesak supaya Pogba segera angkat bungkus.

Laman sesawang thepeoplesperson.com baru-baru ini membuat tinjauan melalui Facebook dengan soalan: Adakah mana-mana calon pertukaran Pogba ini menarik minat jika anda adalah pengurus United?

Majoriti responden tidak pun bersetuju, dengan kebanyakan mereka membalas dengan komen: “Pergi jahanam dengan pasukan-pasukan dan pemain-pemain yang ditawarkan mereka ini!”

“Calon terbaik yang mampu ditawarkan PSG ialah Di Maria (yang pernah gagal di Old Trafford). Ia jelas menunjukkan kurangnya rasa hormat terhadap United, atau betapa rendahnya mereka memandang Ed Woodward (ketua eksekutif Manchester United),” kata satu komen lain.

Seorang lagi peminat menyimpulkan: “Kebanyakan daripada pemain yang ditawarkan adalah ‘kuda kayu’ yang bukan lagi dalam kesebelasan utama. Jika Juventus benar-benar mahukan Pogba, maka berikan kami Paulo Dybala.”

Perbandingan dengan 13 pemain berkenaan turut menyedarkan sesetengah peminat bahawa tiada antara mereka yang hampir dengan keupayaan Pogba.



“Saya akan lebih gembira untuk Pogba dikekalkan dan melihat bagaimana dia akan dapat memperbaiki gandingan bersama Bruno (Fernandes),” kata satu komen berbeza.

“Lagipun kenapa United mahu mengambil mana-mana daripada pemain di atas jika kelab asal pun enggan lagi mengekalkan mereka.

“Jika pemain-pemain ini tidak cukup bagus untuk PSG, Real Madrid dan Juventus, maka mereka juga tidak cukup baik buat United,” tambahnya.

Namun, ada juga peminat yang teruja dengan Martin Odegaard, pemain berusia 21 tahun Norway bersama Real Madrid serta dua pemain Juve, Miralem Pjanic dan Federico Bernardeschi, yang dianggap antara bakat terbaik daripada kelompok 13 pemain yang ditawarkan itu.

Soalan susulan dalam tinjauan itu berbunyi: “Jika bukan mana-mana daripada kelompok pemain ini, siapa yang anda mahukan sebagai calon pengganti (Pogba)?”

Kylian Mbappe daripada PSG, Raphael Varane dan Vinicius Jr. daripada Real Madrid serta Matthijs de Ligt dan Dybala daripada Juventus – begitulah pendapat ramai.

Secara tiba-tiba, apabila dibuat perbandingan sedemikian, ia menyedarkan peminat United bahawa Pogba bukanlah pemain seburuk mereka sangkakan.

Advertisement

Must Watch Video