Skip to main content

Rencana

Piala FA pun jadilah

pep-guardiola-fa-cup.jpg
Umum sudah mengetahui bahawa Liverpool sudah pun mengesahkan takhta kejuaraan liga selepas pasukan di tangga kedua, Manchester City, tumbang kepada Chelsea di Stamford Bridge.  Dengan termeterainya The Reds menjadi juara, sedikit-sebanyak kehangatan liga semakin pudar kerana pemenang sudah diketahui awal.

Secara tidak langsung, saingan separuh akhir Piala FA menjadi perhatian kerana melibatkan empat pasukan besar iaitu Arsenal, Manchester City, Manchester United dan Chelsea.

Bagi The Citizens, mereka pasti terdesak mahukan kejuaraan Piala FA selepas gagal mempertahankan kejuaraan liga musim ini. Dengan hampir pasti mengakhiri liga di tangga kedua, Piala FA pasti menjadi sasaran seterusnya jika tidak mahu menamatkan musim ini dengan tangan kosong. Biarpun mempunyai kelebihan satu gol dalam perlawanan timbal balik Liga Juara-Juara Eropah berdepan Real Madrid nanti, namun secara logiknya saingan dalam Liga Juara-Juara Eropah pasti lebih sukar berbanding Piala FA. Jadi, Pep Guardiola pastinya tidak mahu melepaskan peluang untuk mempertahankan kejuaraan Piala FA musim lalu.

Pasukan paling banyak memenangi Piala FA, Arsenal, yang kini berada dalam prestasi terumbang-ambing, juga dilihat terdesak mahu meraih sesuatu sebelum tamatnya musim ini. Dengan mereka sudah pun tersingkir daripada saingan Liga Europa, inilah satu-satunya peluang Mikel Arteta untuk sekurang-kurangnya menambat hati peminat mereka selepas mengalami begitu banyak masalah dalaman.  Andai mampu muncul juara, sedikit-sebanyak ia mampu menutup lubang-lubang masalah yang kerap timbul musim ini.

Chelsea boleh dikatakan antara pasukan pilihan untuk mara ke pentas final berdasarkan prestasi semasa mereka. Peluang dalam Liga Juara-Juara Eropah dilihat semakin sukar selepas tewas 3-0 kepada Bayern Munich dan biarkan berpeluang menebus kekecewaan dalam perlawanan timbal balik, adalah lebih baik mereka memberi fokus kepada saingan Piala FA.  Pelan ketua jurulatih, Frank Lampard, dilihat mula menampakkan hasil dengan corak permainan sesama pemain di atas padang dilihat sudah mula konsisten.

Bagi Ole Gunnar Solskjaer, andai berjaya meraih kejuaraan Piala FA musim ini, peluang pasti bertambah baik untuk OGS mendapatkan beberapa pemain baru. Dengan kembalinya Paul Pogba dalam kesebelasan utama, adalah satu kegagalan andai mereka tidak mara sekurang-kurangnya ke pentas final. Sudah lama pasukan The Red Devils itu tidak meraih kejuaraan utama di England, biarpun dibarisi ramai pemain bintang.

Untuk perkembangan lebih lanjut separuh akhir Piala FA, jangan lupa saksikan "Berbulu Dengan Burn" pada Khamis ini jam 3-4 petang di Facebook Astro Arena kerana penulis akan membincangkan dengan lebih terperinci secara langsung!

Advertisement

Must Watch Video