Skip to main content

Rencana

Piala Dunia 2018 – Selayang Pandang (bhg 3)

brazil-161117.jpg
Perebutan tempat ke pusingan akhir Piala Dunia dari zon Amerika Selatan menyaksikan persaingan paling sengit dan mendebarkan hingga naib juara edisi lalu, Argentina, berdepan kemungkinan terlepas penerbangan ke Russia sehinggalah perlawanan terakhir kelayakan.

Demikian sengitnya pasukan-pasukan berkenaan saling mengatasi satu sama lain sehingga juara Copa America, Chile, sekalipun sekadar menjadi penonton kali ini.

Tiada Piala Dunia tanpa Argentina dan Lionel Messi dan mujurlah kemungkinan itu mampu dihindarkan gara-gara magis siapa lagi kalau bukan tonggak ajaib Barcelona itu.

AMERIKA SELATAN

BRAZIL, juara Piala Dunia sebanyak lima kali, meluncur laju dalam kempen kelayakannya, dengan jurang 10 mata mengatasi pasukan di tempat kedua, Uruguay, sambil hanya mengalami satu kekalahan daripada 18 perlawanan kelayakan (0-2 kepada Chile di tempat lawan).

Ketua jurulatihnya, Tite, sedang membina sebuah pasukan menarik yang kembali mendapat kepercayaan rakyat Brazil selepas keaiban daripada kekalahan 7-1 kepada Jerman ketika menjadi tuan rumah pada 2014.

Neymar adalah penyuluh kecemerlangan mereka dan mendapat sokongan mantap daripada Philippe Coutinho dan bintang meningkat naik, Gabriel Jesus, di barisan serangan yang memukau.

Mengisi ranking nombor dua dunia ketika ini, persoalannya ialah sama ada mereka akan mampu menyerlah di Russia atau menhampakan ramai seperti empat tahun lalu.

URUGUAY layak dari tangga kedua kelayakan zon Amerika Selatan di sebalik terjebak dengan lima kekalahan tapi menghimpun secukupnya mata berharga daripada perlawanan penting pada peringkat penghujung untuk mengekori Brazil.

Juara Piala Dunia sebanyak dua kali itu, yang ketika ini menduduki ranking ke-17 dunia, akan membuat penampilan ke-13 dalam pusingan akhir.

'La Celeste' yang dikemudi oleh jurulatih veteran, Oscar Washington Tabarez, akan banyak bergantung kepada penyerang kembar, Luis Suarez daripada Barcelona dan Edinson Cavani daripada Paris-Saint Germain (PSG) di samping Diego Godin untuk memimpin pertahanan.

ARGENTINA harus sentiasa berterima kasih kepada Lionel Messi selaku penyelamat pasukan kerana hatrik penyerang Barcelona itu dalam perlawanan terakhir kelayakan menentang Ecuador mengesahkan La Albiceleste layak sebagai mengakhiri keresahan daripada kempen kelayakan yang hampir saja meminggirkan mereka.

Di samping Messi, Argentina memiliki kekuatan pada penyerang Manchester City, Sergio Aguero, dan pertahanan Barca, Javier Mascherano.

Juara Piala Dunia selaku tuan rumah pada 1978 dan di Mexico pada 1986, mereka akan tampil dalam pusingan akhir buat kali ke-17 akan akan berharap untuk menebus kekalahan dalam masa tambahan final kepada Jerman di Brazil, empat tahun lalu.

      
COLOMBIA merebut tangga keempat dan slot kelayakan automatik terakhir daripada zon Amerika Selatan sekalipun timbul kontroversi dakwaan mereka berpakat dengan Peru dalam perlawanan terakhir kedua-dua pasukan yang berkesudahan seri yang melayakkan Peru ke saingan play-off.

Pemain perancang Real Madrid, James Rodriguez, yang kini dipinjamkan kepada Bayern Munich, benar- menyinar di Brazil empat tahun lalu dan sekali lagi akan menjadi sandaran utama pasukannya.

Kapten, Radamel Falcao, sudah mendapat semula sentuhan penyudahnya sambil ketua jurulatih, Jose Pekerman, akan memimpin Colombia – ke-13 dalam ranking FIFA – membuat penampilan keenam dalam Piala Dunia.

PERU berkesudahan di tangga kelima kumpulan untuk memanfaatkan play-off antara benua menentang New Zealand. Seri 0-0 di Wellington, Peru mengesahkan kelayakan dengan kemenangan 2-0 di halaman sendiri sebagai pasukan terakhir melengkapkan senarai 32 pasukan di Russia 2018.

Ia akan menjadi penampilan pertama mereka dalam pusingan akhir selepas 36 tahun dan yang kelima keseluruhannya.

Nombor 10 dalam ranking dunia, pasukan kendalian jurulatih dari Argentina, Ricardo Gareca, ini akan bersandarkan kepada pemain berusia 33 tahun, Jefferson Farfan daripada Lokomotiv Moscow dan bintang muda seperti Pedro Requena.

(BERSAMBUNG)
 

Advertisement

Must Watch Video