Skip to main content

Rencana

Permata England di bumi Jerman

sancho.jpg
Siapa yang boleh bergelar pakar helah? Seseorang yang mahir seni untuk menjerat pemain lawan dengan kemahiran menggelecek bola digelar pakar helah. 

Dalam komuniti bola sepak, terma ini amat bersesuaian untuk pemain sayap yang lincah ketika melakukan larian dengan menerjah masuk melepasi benteng pertahanan lawan dan Jadon Sancho merupakan contoh terbaik dengan gelaran itu.

Jadon Malik Sancho, yang dilahirkan di London, memulakan karier di Watford. Selepas beberapa tahun, dia menyertai Manchester City dan diletakkan dalam akademi untuk diperkembangkan bakatnya.

Menyerlah bersama skuad akademi dan kerap kali diberikan pujian oleh pemilik kelab, namun kedudukannya bersama pasukan kelihatan samar sementara tiada jaminan untuk berada dalam kesebelasan utama The Citizens. 

Pemain berusia 20 tahun itu mengambil keputusan untuk meninggalkan Stadium Etihad... serta England untuk ke Borussia Dortmund dengan yuran perpindahan sebanyak GBP8 juta (RM40 juta).

Musim pertamanya di BVB bukan yang berjaya menyinar di mata dunia, Sancho memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan rentak pasukan. Meledak satu gol dan menghasilkan beberapa bantuan jaringan dalam musim 2017-18. 

Kehadiran pengurus baru, Lucien Favre, bagaimanapun berjaya mendatangkan tuah kepada Sancho.

Pengendali kelahiran Switzerland itu kagum dan melihat bakat yang dimiliki pemain kebangsaan England itu dan kini merupakan antara bintang di Signal Iduna Park.

Musim lalu merupakan platfom terbaik Sancho apabila membuktikan kebolehannya kepada dunia. Pantas ketika menggelecek bola, sentuhannya amat berbisa ketika menyerang bersama pasukan sementara hantaran silangnya merupakan kombinasi terbaik sebagai pemain sayap. 

Dia meledak 12 gol dan melakukan 14 bantuan jaringan dalam saingan Bundesliga, dengan hanya Eden Hazard memiliki bantuan jaringan lebih banyak berbanding Sancho di seluruh lima liga teratas.

Memainkan peranan dalam membantu pasukannya memberikan cabaran kepada Bayern Munich dalam perebutan takhta liga. Aksi cemerlangnya membenarkan dia tergolong dalam 11 pemain terbaik liga Jerman itu dan lebih penting, dipanggil untuk beraksi bersama skuad The Three Lions. 

Membuktikannya dirinya bukanlah wira satu musim, Sancho terus mempamerkan aksi cemerlang dalam aksi Piala Super Jerman berdepan Bayern apabila meledak satu gol sementara melakukan satu bantuan jaringan ketika meraih kemenangan 2-0.

Sebelum ini, dia kerap diturunkan sebagai sayap kanan dalam formasi 4-2-3-1, kali ini diberikan kebebasan ketika menyerang.

Favre turut menurunkan Sancho sebagai pemain sayap kiri dan pemain nombor 10 bagi menggunakan kebolehan pemain itu dengan sebaik mungkin. Dengan kehadiran Thorgan Hazard dan Julian Brandt, Kebolehan Sancho untuk menyesuaikan diri dalam pelbagai posisi adalah aset kepada kelab. 

Digabung kebolehan dengan dua antara bakat yang meningkat naik di Jerman, Sancho dijangka menghasilkan impak yang lebih besar musim ini.

Sancho pernah mewakili England dalam beberapa peringkat umur, membuktikan dia merupakan antara masa depan England ketika beraksi dalam saingan Euro B-17 Tahun. Walaupun tewas dalam final, dia diangkat sebagai pemain terbaik kejohanan.

Sancho turut tersenarai dalam skuad B-17 England dalam saingan peringkat kumpulan Piala Dunia B-17, dia kemudian beraksi cemerlang bersama Skuad B-19. Rekod cemerlang bersama BVB musim lalu merupakan peluang terbaik buat dirinya terpilih bersama skuad kebangsaan England bagi saingan Liga Negara-Negara.

Dengan barisan berbakat dimiliki pengendali England, Gareth Southgate, ia merupakan cabaran Sancho untuk kekal sebagai pilihan utama. Bagaimanapun, mempamerkan aksi konsisten akan membantunya. 

Berkemungkinan bakal bergandingan bersama Harry Kane dan Raheem Sterling untuk membentuk jentera serangan yang digeruni.

Kejayaan Sancho di luar England harus dijadikan sebagai contoh buat setiap pemain Inggeris jika mahu membuktikan kebolehan masing-masing. Sudah pasti menjadi salah seorang pemain yang bakal dijangka sebaris dengan pemain terbaik dunia, dan masih lagi muda, Sancho memiliki segalanya untuk capai ke puncak tertinggi.

Advertisement

Must Watch Video