Skip to main content

Rencana

Peranan besar Firmino dalam "Fab Three"

firmino.jpg
Penyokong Liverpool sudah boleh berkira-kira memikirkan apakah nama khas buat penggempur serangkai mereka yang ditunjangi Sadio Mane, Roberto Firmino dan Mohamed Salah.
 

Ketika ini, gandingan mereka hanya dirujuk sebagai "Fab Three".
 
Ketika ini, trio penyerang yang menggempar dunia terarah kepada gandingan BBC (Karim Benzema, Gareth Bale dan Cristiano Ronaldo) selain NMC (Neymar, Kylian Mbappe dan Edison Cavani) yang mulai digeruni musim ini manakala ikatan MSN (Lionel Messi, Luis Suarez dan Neymar) pula sudah terlerai. 
 
Barangkali, punca "Fab Three" masih belum mempunyai nama khas adalah berikutan keraguan terhadap keupayaan Firmino. 
 
Pemain Brazil itu tiba di Anfield dari Hoffenheim dengan nilai £29 juta (RM157.3j) pada 2015. 
 
Namun, prestasi konsistennya musim ini telah menarik perhatian ramai apabila sudah 22 kali merobek gawang lawan -- jumlah itu hampir sekali ganda daripada rekod 12 gol yang dilakukannya musim lalu manakala 11 gol pada musim pengenalannya dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).
 
Ia juga merupakan catatan terbaik sepanjang karier pemain berusia 27 tahun itu. 
 


Dari kaca peminat The Reds, peranan Firmino ketika ini cukup penting bagi mengimbangi kekuatan Mane dan Salah, bukan hanya bergantung kepada sentuhan pemusnahnya, sebaliknya usaha keras dan tidak lokek mencipta peluang gol untuk rakan sepasukannya. 
 
Maka, tidak hairanlah pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, beria-ria mahukan anak buahnya itu melanjutkan kontraknya di Anfield. 
 
Malah, ketika awal ketibaan Klopp, beliau terpaksa tampil mempertahankan rekod jaringan pemain itu. 
 
Turut kagum dengan peningkatan memberangsangkan Firmino adalah jurulatih Brazil, Tite. 
 
Jurulatih skuad Samba itu sedia mencari formula demi mengetengahkan pemain Liverpool itu -- mengukir lima gol di pentas antarabangsa -- dalam kesebelasan utama. 
 
Bukan calang-calang pemain boleh mendapat tempat dalam skuad Brazil ketika ini susulan 17 kemenangan serta 38 gol di bawah kendalian jurulatih yang dilantik selepas malapetaka Piala Dunia 2014 itu.
 
Ketika ini, Brazil mempunyai taruhan untuk merobek gawang lawan menerusi Neymar, Gabriel Jesus, Philippe Coutinho dan Willian.
 
"Saya boleh lihat Firmino beraksi di samping (Gabriel) Jesus,” kata jurulatih berusia 56 itu untuk memberi gambaran terhadap persiapan Brazil menghadapi Piala Dunia Russia, musim panas ini. 
 
"Firmino pada asalnya adalah pemain nombor 10 (pemain tengah menyerang) yang sering memainkan peranan nombor sembilan (penyerang kedua). Dia adalah pemain nombor 10 yang belajar bermain sebagai penyerang kedua. 
 
"Brazil kekurangan alternatif dalam kempen Piala Dunia yang lalu dan ia menyebabkan kami terpaksa membayar harga yang mahal. 
 
"Sebab itulah saya mahu menggunakan (Philippe) Coutinho di bahagian tengah, Willian sebagai pemain sayap lalu menggandingkan Firmino dan Jesus bersama-sama. 
 
"Kami perlu menghadapi temasya itu dengan persediaan menghadapi sebarang situasi. 
 
"Coutinho merupakan perancang utama dengan Willian mungkin ditempatkan di bahagian sayap. Jadi, Jesus dan Firmino boleh diletakkan sebagai penyerang tengah. 
 
"Countinho dan Neymar antara empat nama yang dijangka membuat gerakan di belakang dua penyerang (Jesus and Firmino), mereka boleh menjadi penyelesaian kami ketika menentang lawan yang gemar berkampung di kubu sendiri," kata Tite minggu lalu. 

Advertisement

Must Watch Video