Undian Piala Malaysia 2019 menyaksikan undian seimbang buat Kedah, Johor Darul Ta'zim (JDT) dan juga Selangor.
Namun, penulis berasa saingan cukup sengit dalam Kumpulan C yang membabitkan Pahang, Perak, Sabah dan Pulau Pinang.
Penulis melihat keempat-empat pasukan ini mempunyai misi dan kelebihan sendiri untuk melangkah jauh dalam saingan kali ini.
Pahang yang dikecewakan Perak dalam separuh akhir Piala FA serta kegagalan memberi cabaran lebih kuat kepada JDT dalam saingan Liga Super, jelas mahu memadam kekecewaan itu dengan menjuarai Piala Malaysia.
Perak yang tampil selaku juara bertahan kini memasuki musim kedua di bawah kendalian Mehmet Durakovic pasti megharapkan tuah jurulatih kelahiran Australia itu dalam saingan Piala Malaysia dan Piala FA berterusan.
Penulis melihat kekuatan Perak musim ini turut ditunjangi pemain tengah berdarah campuran Australia, Brendan Gan, pemain sayap, J Partiban, serta keampuhan Shahrul Saad mengemudi beteng pasukan.
Sabah yang juga juara Liga Perdana, sudah meletakkan sasaran untuk sekurang-kurangnya ke separuh akhir Piala Malaysia musim ini dan bagi penulis,kelebihan mereka adalah keserasian dalam kalangan pemain.
Ini adalah musim ketiga Sabah dikendalikan Jelius Ating dan bekas pertahanan kebangsaan itu mengekalkan sebahagian besar pemain sama sejak mengendalikan pasukan tersebut.
Bagi Pulau Pinang, sudah pasti skuad kendalian Manzoor Azwira mahu segera memadam kekecewaan isu dipotong enam mata dalam saingan Liga Perdana dengan memberi saingan kuat dalam Piala Malaysia kali ini.
Sememangnya Piala Malaysia sentiasa menghadirkan kejutan oleh pasukan bukan pilihan, namun penulis optimis sekurang-kurangnya satu pasukan dalam Kumpulan C berupaya mara ke separuh akhir.
Sukar juga menjangka pasukan lain yang akan menyinar, namun sudah pasti kita tidak boleh melupakan juara enam kali Liga Super, JDT yang mungkin mahu menebus kegagalan di Piala FA dalam saingan Piala Malaysia.
Begitu juga dengan Selangor, juara 33 kali Piala Malaysia dan Gergasi Merah kerap mempunyai sentuhan magis dalam pertandingan ini meskipun kurang menyinar dalam saingan Liga Super dan Piala FA.
Apa yang penting, penulis turut berharap saingan Piala Malaysia musim ini akan menyaksikan tahap permainan berkualiti serta aksi kompetitif terbaik daripada semua pasukan terbabit.
Fadzrie Hazis
Wed Jul 24 2019