Skip to main content

Rencana

Olahraga masih bernyawa rupa-rupanya

040616-khairul-hafiz-jantan.jpg
ADAT dunia sukan, sehebat manapun seorang atlet olahraga menggapai awan, publisitinya tidak seluas kisah suka duka seorang pemain atau pemimpin bola sepak.

Kemenangan Khairul Hafiz Jantan dalam acara pecut 100m dalam Kejohanan Olahraga Remaja Asia di Bandaraya Ho Chi Minh, Vietnam, disusuli pingat emas peserta lompat kijang, R. Kirthana, dan Rizzua Haizad Muhammad dalam 110m lari berpagar harus memberi petanda bahawa olahraga negara dalam keadaan sihat wal afiat.

Ini adalah koleksi terbaik dalam sejarah penyertaan skuad olahraga negara dalam temasya untuk remaja yang diperkenalkan pada 1986.

Penulis beruntung membuat liputan di dua edisi – di Bangkok pada 2002 dan di Ipoh dua tahun kemudian -- dengan pelbagai kisah menarik di depan dan di balik tabir.

Genap 12 tahun yang lalu, berpentaskan Stadium Perak di Ipoh yang baru menjalani proses baik  pulih, Fauziah Abdul Razak mencatat 24.49 saat untuk memenangi emas 200m wanita.

Acara 200m bukanlah disiplin kegemarannya. Sebaliknya Fauziah, ketika itu berusia 16 tahun, lebih gemar mengerjakan paru-parunya dalam perlumbaan sepusingan yang menuntut gabungan stamina dan kelajuan, iaitu 400m.

Mujur ibu-bapanya yang datang dari Felcra Sungai Buaya di Teluk Intan, sempat menyaksikan  kemenangannya selepas tersesat mencari jalan ke stadium.

Genap 10 tahun selepas itu, Siti Nur Afiqah Abdul Razak mencatat 53.93s untuk muncul juara 400m di Taiwan.

Juga berusia 16 tahun, gadis dari Terengganu itu hanyalah peserta negara yang kedua untuk  menaiki podium tertinggi kejohanan itu.

Hari ini Malaysia boleh berbangga.

Khairul, 18 bulan depan, berada dalam kedudukan unik. Anak Melaka itu membawa pulang satu pingat emas dengan kepantasan 10.36 saat dalam 100m dan dua pingat perak  menerusi acara 200m dan 4x100m.

Sudahlah menewaskan rakan lebih glamor, Badrul Hisyam Abdul Manap, dalam 100m, bahkan Khairul turut menjadi anak Malaysia ketiga terpantas sepanjang zaman dalam acara 200m, selepas Tan Sri Dr. M. Jegathesan 20.92s (Mexico 1968) dan Azmi Ibrahim 20.97s (Kuala Lumpur 2001) hasil catatan 21.01s dalam separuh akhir 200m.

Lebih penting untuk olahraga negara, kelompok pakar pecut yang ada boleh digilap memenuhi potensi jika mereka tidak kecewa awal dalam suasana yang kurang menggalakkan.

Khairul, bekas pelajar SMK Sri Kota di Melaka, Badrul Hisyam yang buat seketika dijulang selaku pemegang rekod kebangsaan baharu dalam 100m sebelum dipadam gara-gara sebab teknikal, Haiqal Hanafi dan Asnawi Hashim perlu diberi galakan dari segi persekitaran dan insentif di pangkalan mereka di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail di Bandar Penawar di bawah bimbingan jurulatih, Poad Kassim.

Ini ditambah pula dengan kehadiran atlet senior seperti Harith Ammar Sobri, Jonathan Nyepa, Nixson Kennedy dan Izzuddin Yahaya, tidak lama lagi rekod 10.30s yang dirakam oleh Watson Nyambek pada 1998 harus terpadam daripada catatan.

Bagi Kirthana dan Rizzua, dua produk Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) yang berpengalaman beraksi di Sukan Olimpik Remaja di Nanjing pada 2014, mereka bersaing dalam acara yang cukup teknikal.

Berasal dari Perak, Kirthana, 19, hanya memberi tumpuan kepada acara lompatan melintang selepas diyakinkan oleh jurulatih, Zainal Abas, selepas dia berpindah ke SSBJ pada 2011. 

Sejak itu, gadis ini mengaut pengalaman bertanding di Donestk 2013, Remaja Dunia di Oregon 2014 dan menduduki tangga keempat di Nanjing. Jarak 13.20m di Bandaraya Ho Chi Minh adalah isyarat bahawa Kirthana harus terus digilap.

Rizzua yang berasal dari Sarawak pula muncul hasil sentuhan Ithnin Mahadi yang pernah membimbing Robani Hassan dan Shinar Shazua Shaharuddin dalam acara yang satu ketika dahulu dikuasai Ishtiaq Mobarak dan Nur Herman Majid. Dengan kepantasan peribadi 13.87s dalam separuh akhir disusuli 14.00 saat dalam final, Rizzua kena diberi ruang luas untuk maju.

Isu sama ada mereka harus atau tidak bersaing di Sukma di Sarawak atau bertanding di Bydgoszcz, Poland Julai nanti, menawarkan dua perspektif.

Pertama, individu seperti Rizzua mahu membuktikan kemampuan di depan penyokong sendiri. Bagi Khairul dan Badrul Hisyam yang mahu mengulangi perseteruan dramatik di antara Watson dan Azmi pada 1994 dan 1996, Sukma adalah medannya.

Dengan tumpuan sedemikian, profil Sukma sendiri harus diangkat.

Namun, setakat ini biarkan mereka meraikan kemenangan di Vietnam sebelum kembali ke landasan yang banyak menuntut pengorbanan.

Advertisement

Must Watch Video