Skip to main content

Rencana

Negeri Sembilan Contoh Terbaik Norma Baharu Bola Sepak Malaysia

103711683_3899354626803680_5100525088155875579_o.jpg
Tahniah Negeri Sembilan kerana bukan sahaja menjadi pasukan pertama menjalani latihan selepas dilanda serangan COVID-19 tetapi berjaya mengikut segala Prosedur Standard Operasi, SOP yang ditetapkan bagi mengelak penularan pandemic ini.

Sejak menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu, kita cukup teruja apabila arena bola sepak negara mendapat semangat baharu dengan kebenaran dari Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk pasukan Liga Malaysia mengadakan latihan bermula 15 Jun.

Negeri Sembilan menjadi pasukan pertama yang melepasi empat kriteria utama iaitu melakukan ujian calitan atau ‘swab test’, melantik pegawai penyelaras, menamakan pusat latihan yang didaftarkan kepada MITI dan menyahkuman venue tersebut.

Hasilnya pada 16 Jun, Negeri Sembilan menjalani latihan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi yang dipilih sebagai gelanggang latihan yang memenuhi SOP ditetapkan iaitu berlatih di venue tertutup.

Latihan yang dilakukan Skuad Hobin Jang Hobin melibatkan tiga sesi latihan dimana setiap kumpulan membabitkan sembilan pemain dan empat pegawai yang berlangsung dalam tempoh 45 minit.

Keterujaan pemain dan pegawai untuk kembali ke gelanggang melebihi rasa janggal dengan peraturan penjarakan sosial atau ‘social distancing’ seakan memudahkan segala SOP untuk dipatuhi – mungkin sedikit perbezaan ketara adalah pemain tidak bersentuhan dan perlu segera meninggalkan padang sebaik tamat latihan.

Lebih banyak latihan dari pasukan Liga Malaysia dijangka bakal diadakan dalam masa terdekat menerusi perkongsian Malaysia Football League (MFL) dimana Perak dan Kedah antara dua lagi pasukan yang sudah melakukan ‘swab test’ ke atas semua pemain dan pegawai untuk dibenarkan berlatih.

Diharapkan keterujaan dari kebenaran MKN dan situasi positif dalam kem Negeri Sembilan ketika ini akan berterusan dimana semua pasukan yang terbabit proaktif dengan mengambil tanggungjawab bersama bagi membendung virus berbahaya ini agar saingan bola sepak negara kembali bernyawa dalam masa terdekat.

Tetapi buat masa sekarang, jangan berangan ke stadium dahulu ya!

 

Advertisement

Must Watch Video