Skip to main content

Rencana

Nafas United berbahang di leher Liverpool

united-1.jpg
Anda mungkin mentertawakannya hanya beberapa minggu lalu. Ketawalah sepuas-puasnya kerana keadaan mungkin tidak mengizinkannya lagi selepas ini.

Dalam sesingkat masa, Manchester United kini terserlah sebagai pesaing tulen kepada kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) yang mahu dipertahankan Liverpool.

Sebelumnya, Manchester City, Chelsea dan Tottenham disebut-sebut sebagai calon juara.

Kini, United tampil untuk merenggut penghormatan itu, antaranya kerana skuad Ole Gunnar Solskjaer itu telah menemui semula semangat melawan mereka, Bruno Fernandes semakin terserlah selaku pemain terbaik EPL sejak ketibaannya, selain Marcus Rashford dan rakan penyerang semakin rakus meratah peluang.



Semua itu seakan-akan mimpi pada waktu ini tapi ia juga dipermudahkan oleh kehambaran Liverpool sendiri akhir-akhir ini – dengan keputusan seri 0-0 di Newcastle United awal pagi tadi sekadar mengesahkan lagi hakikat itu.

Dengan hanya dipisahkan tiga mata di tangga kedua sambil United memiliki kelebihan satu perlawanan dalam tangan, baki musim ini mungkin berlanjutan sebagai perlumbaan klasik di antara kedua-dua pasukan ini untuk ditabalkan juara.

Pertemuan Liverpool-United di Anfield, 17 Januari ini, harus akan memberi gambaran lebih jelas sama ada The Red Devils mampu kekal di landasan selaku pesaing sebenar.



Apa pun, mengambil kira perkembangan terbaru ini, United berkedudukan lebih baik untuk meneruskan ikhtiar itu berbanding beberapa musim terakhir.

Awalnya goyah pada permulaan musim ini, Solskjaer dan barisan pemainnya sudah semakin menemui rentak mereka, dengan omongan untuk memburu kejuaraan sejak persaraan Sir Alex Ferguson selaku pengurus pada 2013, bukan lagi bahan senda-gurau atau sekadar untuk ditertawakan.

Akhbar Daily Mail UK mengutarakan lima faktor kenapa United mampu bergelar juara, didahului oleh kecemerlangan Bruno Fernandes meniupkan nafas baru dalam pasukan – pemain antarabangsa Portugal itu telah menyumbat 26 gol dan 17 bantuan jaringan sejak turun dalam aksi pertama dalam 45 perlawanan bersama United pada 1 Februari lalu.



Di atas kertas, jentera penggempur United juga setanding dengan yang terbaik dalam EPL, dengan Fernandes menawarkan sokongan jitu kepada Marcus Rashford, Anthony Martial, Mason Greenwood and Edinson Cavani.

Minggu-minggu awal menelanjangi United mudah tiris di barisan belakang tapi tidak semudah itu lagi dengan aksi Harry Maguire,Victor Lindelof, Luke Shaw mahupun Eric Bailly di samping penjaga gol, David de Gea, yang semakin terpuji.

Ketibaan Alex Telles and Aaron Wan-Bissaka sekadar menambah sengit perebutan tempat pada masa skuad Solskjaer kini kembali dengan semangat melawan – kemenangan ke atas Southampton, West Ham, Everton dan Sheffield United daripada kedudukan ketinggalan membuktikannya.

Apa yang pasti ketika ini, perebutan kejuaraan semakin terbuka luas, dan tiada satu pasukan yang mampu memecut ke garis penamat seperti Liverpool musim lalu dan seperti satu atau dua pasukan lain, United sangat berpeluang.

Dalam pada itu, akhbar Daily Mail juga menawarkan lima sebab kenapa United tidak akan muncul juara musim ini.

Biarlah perkara itu dibincangkan di lain waktu kerana ini adalah masa untuk penyokong United – seperti saya kerap dituduh sama – mula memasang angan-angan.

Selamat menyambut Tahun Baru 2021.
 

Advertisement

Must Watch Video