Skip to main content

Rencana

Mourinho naik angin!

mourinho_1.jpg
Pengendali Tottenham Hotspur, Jose Mourinho tidak berpuas hati dengan kekalahan kepada juara bertahan Liga Perdana Inggeris, Liverpool di Anfield. Mourinho dikhabarkan berang dengan keputusan pegawai perlawanan dan dilihat bertikam lidah dengan pengurus Liverpool, Jurgen Klopp sejurus selepas wisel penamat ditiupkan.

Mourinho melahirkan rasa tidak puas hatinya dengan gelagat Klopp yang berlebihan meraikan gol kemenangan pada masa kecederaan. 'The Special One' turut mengkritik pegawai perlawanan yang dikatakan tidak berlaku adil dalam situasi itu. Beliau menegaskan, andai dirinya berada di tempat Klopp, sudah tentu beliau akan dihalau keluar dari tepi padang. 

Ini bukan kali pertama Mourinho melemparkan kritikan kepada pegawai perlawanan, beliau turut menyebut nama pengendali Manchester City, Pep Guardiola yang turut mendapat 'layanan' istimewa dari pegawai perlawanan.

Drama kedua-dua pengendali  itu hadir selepas penyerang The Reds, Roberto Firmino berjaya menjaringkan gol kemenangan pada minit-minit akhir perlawanan yang sekaligus menyaksikan Liverpool meneruskan rekod tidak tewas 66 perlawanan di Anfield. Gol Firmino itu turut menamatkan 11 kemenangan tanpa kalah buat  Spurs untuk saingan Liga Perdana Inggeris.

Disebalik kemarahan kepada pasukan lawan, Mourinho turut menempelak anak-anak buahnya dengan menegaskan Spurs perlu belajar bagaimana cara untuk 'membunuh' pasukan lawan  jika mahu menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris. Biarpun tewas, Mourinho amat berkeyakinan bahawa kunjungan mereka ke Anfield sepatutnya diakhiri dengan kemenangan bukannya seri atau pun tewas.

Kali terakhir mereka muncul juara liga adalah 60 tahun lalu dan berdasarkan prestasi semasa, ada kebarangkalian bahawa Mourinho mampu menghadiahkan sesuatu kepada Spurs di hujung musim.

Advertisement

Must Watch Video