Skip to main content

Rencana

'Misteri skuad Garuda'

indo.jpg
Malaysia dan Indonesia memang tidak asing lagi dengan gelaran musuh tradisi apabila dua seteru utama itu sudah banyak kali berentap dalam apa jua pertandingan di pentas antarabangsa.

Menariknya, kedua-dua pasukan memiliki rekod seimbang sepanjang pertemuan masing-masing tatkala Malaysia melakar kemenangan sensasi ke atas lawan iaitu pada aksi final Piala AFF Suzuki 2010 dan Sukan SEA 2011.

Indonesia juga tidak kurang hebatnya apabila berjaya menundukkan Malaysia 3-0 dalam pertembungan terakhir kedua-dua pasukan di Solo, tiga tahun lalu.

Berdasarkan situasi itu, Harimau Malaya dan Garuda sememangnya mengenali antara satu sama lain dalam pelbagai aspek seperti gaya permainan dan semangat jati diri walaupun kedua-dua pasukan bersilih ganti pemain dari tahun ke tahun.

Namun, ketika kita berasakan tiada apa yang perlu dirahsiakan oleh kedua-dua pasukan, Indonesia mengambil pendekatan berbeza apabila mengadakan aksi persahabatan tertutup bertemu dua kelab tempatan negara itu.

Skuad bimbingan Simon McMenemy menewaskan Bhayangkara FC 2-0 dan menundukkan Persika Karawang 4-0 sebagai persediaan menentang Malaysia untuk kempen pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Jelas, pasukan itu mahu menyembunyikan sesuatu menjelang aksi Khamis ini berbanding skuad negara yang lebih bersifat terbuka apabila mengadakan perlawanan persahabatan menentang Jordan di Stadium Bukit Jalil, Jumaat lalu.

Jurulatih negara, Tan Cheng Hoe ketika ditanya mengenai perkara itu mengakui barisan kejurulatihannya tidak mempunyai banyak maklumat mengenai pasukan lawan walaupun dibarisi beberapa pemain yang pernah beraksi dalam Liga Malaysia.

Cheng Hoe nampak resah dengan situasi itu. Apa tidaknya, kekuatan lawan juga penting untuk beliau membuat percaturan taktikal yang sesuai untuk melunaskan misi tiga mata penuh pada aksi pertama kumpulan G di tempat lawan.

Dengan maklumat terhad yang diperoleh mengenai pasukan lawan, Cheng Hoe harus bijak mencanang pendekatan taktikalnya agar tidak terperangkap dengan segala muslihat lawan untuk pertemuan itu nanti.

Itu juga sebenarnya menjadi harapan saya yang ketika ini berada di bumi Jakarta untuk membawakan perkembangan skuad kebangsaan menentang Indonesia yang akan menjadi langkah permulaan untuk misi ke Piala Asia 2023.

Sama-sama kita doakan skuad negara beroleh kejayaan.

Advertisement

Must Watch Video