Skip to main content

Rencana

Misi tebus maruah

malaysia.jpg
Selepas kejayaan barisan negara menewaskan Indonesia 3-2 dalam aksi kelayakan pusingan kedua Kumpulan G Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, cabaran lebih sukar menanti apabila berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Selasa.

Bagi penulis, ia perlawanan menebus kembali maruah bola sepak negara yang tumpas 10-0 ketika aksi kelayakan Piala Dunia 2018 di Abu Dhabi empat tahun lepas.

Kekalahan besar skuad kendalian Dollah Salleh ketika itu jelas begitu pahit diterima pemerhati dan peminat tempatan namun, barisan kali ini tampak bersedia untuk menebus kekalahan itu.

Secara peribadi, penulis enggan meletakkan harapan terlalu besar untuk meraih kemenangan kerana jika sekadar seri sekali pun, ia tetap satu keputusan positif.

Perlu diingat, UAE kini di ranking ke-65 dunia FIFA berbanding Malaysia di tangga ke 159 dan jelas mereka lebih ampuh berbanding Indonesia.

Barisan kendalian Bert Van Marwijk kali ini masih diperkuat Omar Abdulrahman dan Ali Mabkhout, dua pemain yang beraksi ketika kemenangan 10-0.

Apa pun, barisan kendalian Tan Cheng Hoe kali ini sudah banyak menjelmakan peningkatan dan barisan negara kali ini jelas lebih bersedia berbanding skuad empat tahun lalu.

Harimau Malaya akan turut diperkuatkan Safawi Rasid serta pemain gantian yang mampu melakukan impak, Akhyar Rashid yang turut menjaringkan gol dalam kemenangan 2-0 skuad B23 negara ke atas B23 UAE dalam aksi persahabatan pada September 2018.

Berbeza dengan skuad 2015 kendalian Dollah, pemain negara dari kelab Johor Darul Takzim (JDT) seperti Safawi, Akhyar, Farizal Marlias,Corbin Ong dan Syafiq Ahmad turut terdedah dengan saingan Liga Juara-Juara AFC musim ini.

Pengalaman mereka beraksi di saingan elit kelab Asia membolehkan mereka sinonim beraksi dengan barisan terbaik Asia.

Penulis menjangkakan Syafiq bakal memainkan watak utama dalam aksi berdepan UAE kali ini selepas menjana bahagian tengah dengan baik bersama Brendan Gan dan Azam Azih ketika aksi berdepan Indonesia minggu lalu.

Aksi dengan UAE pasti menuntut pemain lebih berdisiplin dalam melaksanakan perancangan taktikal Cheng Hoe di atas padang.

Apa pun keputusan berdepan UAE, kita perlu ingat bahawa sasaran utama ialah mara ke Piala Asia 2023 dan jika mara lebih jauh di kelayakan Piala Dunia, ia adalah bonus yang pasti akan turut melonjakkan lagi ranking dunia skuad kebangsaan.

Kepada Farizal, Safawi dan rakan-rakan, selamat berjuang dan bermainlah demi Lencana Di Dada..
 

Advertisement

Must Watch Video