Macam mana boleh kena belasah dengan Jepun?
Sebelum melangkah jauh, ini cerita skuad hoki negara. Komuniti hoki tidak boleh terima kekalahan besar ini di tangan pasukan yang bukanlah gergasi hoki dunia.
Benar, Malaysia tidak membawa ramai pemain utama.
Kapten, Muhammad Razie Abd Rahim, Nabil Fiqri Mohd Noor masih menjalani kursus asas latihan polis, penjaga gol, S Kumar cedera, Fitri Saari (pemain tengah), Faiz Helmi Jali (pertahanan) sedang menduduki peperiksaan sementara Shahril Saabah (penyerang) kehilangan ibunya.
Tapi sekali lagi ditekankan, kita tidak boleh kalah besar kepada pasukan seperti Jepun.
"Kami beraksi tanpa pemain utama. Jadi, banyak ketidakstabilan secara keseluruhan. Kami juga mencuba beberapa posisi baru. Bagaimanapun, prestasi pemain bawah tahap sebenar terutama di babak pertama. Mereka bangkit selepas rehat namun masih lagi gagal beraksi seperti yang saya harapkan.
"Kami akan mengadakan beberapa analisis terhadap kekalahan ini menjelang perlawanan berikutnya," kata Ketua Jurulatih Negara, Stephen van Huizen.
Jadi nampaknya, pemain simpanan negara belum sedia menggalas tugasan antarabangsa walaupun skuad pembangunan sudah diwujudkan sejak enam bulan lalu.
Jurang mereka dengan skuad utama masih lagi jauh, sejauh perjalanan Malaysia untuk mewujudkan pasukan kedua seperti juara dunia, Australia.
Orang akan bercakap, kita tidak boleh bandingkan dengan juara dunia. Tapi soalnya sekarang, ini kekalahan terbesar Malaysia di tangan Jepun.
Kali terakhir Malaysia tewas kepada skuad Samurai ialah, 0-1 pada ketika Trofi Juara-Juara Asia 2013, juga di Stadium Gifu, Kakamigahara.
Stephen juga boleh beri alasan beliau membawa ramai pemain muda. Tapi, adakah pemain muda Malaysia tidak mampu bersaing dengan Jepun?
Apa sudah jadi dengan bekas pemain Skuad Projek 2013 atau 2016?
Adakah kapten, Sukri Mutalib dan beberapa pemain senior seperti Baljit Singh Charun Singh, Mohd Marhan Abd Jalil tidak mampu mengemudi adik-adik?
Tewas, 1-5 kepada Jepun sesuatu yang tidak boleh diterima. Apa kejadahnya semua ini?