Skip to main content

Rencana

Malaysia dan Jepun mula langkah kiri!

300417hokimalaysia.jpg
Hari pertama edisi ke-26 Piala Sultan Azlan Shah mencatatkan keputusan seri dalam semua perlawanan, semalam.

Akibat hujan lebat dan petir, perlawanan pertama ditunda dari jam 4.05 petang ke 6 petang, seterusnya melibatkan perlawanan kedua dan ketiga.

India seri 2-2 dengan Great Britain dalam perlawanan pertama manakala New Zealand mengejutkan juara bertahan, Australia, dengan mencatat keputusan seri 1-1. 

Harapan peminat peminat hoki untuk Malaysia menewaskan Jepun  dalam perlawanan terakhir pada hari pertama tidak kesampaian apabila Jepun mengikat Malaysia 1-1.

Walaupun bermula garang dalam suku pertama pada minit kelapan menerusi jaringan Razie Rahim, ia masih tidak dapat memberikan tiga mata penuh yang diharapkan.

Walaupun selepas itu beberapa peluang dapat dicipta untuk menjaringkan gol padang dan pukulan sudut penalti, ia tidak dimanfaatkan oleh Razie serta penyerang-penyerang negara, antaranya Haziq Samsol, Faisal Saari, Firhan Ashaari serta Nik Mohd Aiman.

Manakala Jepun dalam suku kedua dan ketiga banyak mengancam gawang gol menerusi serangan kilat yang diketuai oleh penyerang berpengalaman mereka, Kemta Tanaka. 

Jepun berjaya menyamakan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti Shota Yamada pada minit ke-39.

Walaupun dari segi statistik, penembusan bulatan memihak kepada pasukan negara dalam suku ketiga, iaitu lapan berbanding empat buat Jepun, gol  kedua yang ditunggu-tunggu tidak berjaya dijaringkan di sebalik ada ketikanya Jepun bermain dengan 10 pemain apabila Koyo Kameyama dilayangkan kad kuning.

Keputusan seri ini juga saya berikan kredit kepada kedua-dua penjaga gol, iaitu S. Kumar dan Takashi Yoshikawa, yang berkali-kali menidakkan percubaan pasukan lawan masing masing. Kumar, terutamanya, dua kali hanya berdepan satu lawan satu dengan penyerang Jepun. 

Saya juga pasti keputusan seri ini tidak menggembirakan Stephen Van Huizen dan jurulatih Jepun, Takahiko Yamabori, kerana selepas ini mereka akan bertemu dengan pasukan yang lebih tinggi dalam kedudukan ranking dunia, iaitu Malaysia bertemu Australia manakala Jepun bertemu Great Britain.

Kepada pasukan negara, tidak ada yang mustahil dalam setiap perlawanan. Pasukan New Zealand yang telah Malaysia tewaskan 8-2 dan seri 3-3 dalam dua perlawanan persahabatan sebelum bermulanya Piala Sultan Azlan Shah, berjaya mengikat Australia.

Tingkatkan prestasi lagi dan tajamkan penyudahan serta mantapkan pertahanan, saya pasti jika tidak tiga mata, satu mata mampu dicuri daripada perlawanan menentang Australia nanti.

Teruskan perjuangan yang baru bermula. 

Advertisement

Must Watch Video