Skip to main content

Rencana

Liverpool terlepas simpang lebuhraya untuk julang trofi

everton-liverpool.jpg
Ada orang lebih suka menggunakan lebuhraya, cepat sikit nak sampai ke destinasi. Ada orang suka jalan ‘kampung’, bukan sahaja jimat belanja sebab tak perlu bayar tol tetapi jalannya lebih menyeronokkan, jadi kuranglah rasa mengantuk apabila perlu memandu lama - macam itulah al kisahnya Liverpool yang terikat seri tanpa jaringan dengan Everton.

Mungkin bagi Liverpool dan para peminat setia, apalah kiranya penantian untuk beberapa ketika lagi jika dibandingkan turun naiknya perjuangan mereka selama 30 tahun ini bagi kembali menjulang trofi Liga Perdana Inggeris.

Skrip yang pastinya lebih sempurna buat jurulatih yang menantikan kejuaraan liga bersama Liverpool sejak 2015, Jurgen Klopp adalah menawan Everton pada perlawanan ke-236 ‘Merseyside Derby’ dan mengutip 3 mata penuh lagi ketika melayan kunjungan Crystal Palace pada Rabu - mencukupkan kuota bagi mencipta sejarah muncul juara musim 2019/2020 dalam norma baharu.

Tetapi apa yang terlihat sudah tidak semestinya menyenangkan dan seperti lain-lain pasukan, Liverpool dan Everton juga kelihatan janggal dengan apa yang ditawarkan oleh norma baharu bola sepak sebaik tiba di Goodison Park - layanan Everton kali ini memang berbeza, kabin mudah alih disediakan di parkir kenderaan pemain buat dijadikan sebagai bilik persalinan The Reds.

Segala yang berbeza pastinya menjadi ‘alah bisa tegal biasa’ nanti tetapi apa yang dipamerkan anak buah Klopp di atas padang membuatkan para penyokong yang menyaksikan salah satu perlawanan penting musim ini dari kaca tv tidak senang duduk - memang benar sesebuah derbi harus berlangsung dalam suasana yang mendebarkan dan penuh aksi tetapi macam tak percaya pula apabila dominasi Liverpool hanya membolehkan Everton mencipta lebih banyak peluang.

Kini hujung perjalanan Liverpool menuju ke garisan penamat sedikit kompleks dan terus menarik perhatian pengkritik bola sepak dalam meramalkan segala kemungkinan.

Nampaknya ‘Project Restart’ yang membabitkan 92 perlawanan Liga Perdana Inggeris dalam 47 hari ini juga menguji Liverpool - tetapi dengan terlepasnya peluang mengutip 3 mata dengan Everton, Liverpool ada satu lagi jalan pintas sekiranya mahu sampai ke destinasi pada Rabu ini juga - 

1) mengharapkan Manchester City tewas kepada Burnley pada Selasa dan...

2) melunaskan misi mesti menang ke atas Crystal Palace - jika tidak, Liverpool boleh terus bersiar-siar menikmati pemandangan.

Advertisement

Must Watch Video