RENCANA
LHM: Ada import ke tidak?
Liga Hoki Malaysia 2021 akan bermula 14 Januari depan tetapi cuma Terengganu Hockey Team mengesahkan sedang menjalankan rundingan mendapatkan pemain import.
Pakar pukulan sudut penalti, Jang Hong Hyun dari Korea Selatan selaku penjaring terbanyak LHM musim lalu jadi sasaran utama.
Soalnya, mengapa tujuh pasukan lain tidak berminat?
Iklan
Adakah mereka yakin mampu mencabar tiga trofi LHM dengan pemain tempatan?
Saya melihat ia terarah kepada tiga faktor:
1) Covid-19
Kerajaan memperketatkan proses kemasukan individu luar negara bagi mengurangkan risiko jangkitan. Malah, pemain yang masuk ke Malaysia perlu menjalani ujian swab dan proses kuarantin yang perlu ditanggung pasukan.
2) Kuota pemain import dan kebangsaan
Konfederasi Hoki Malaysia mengurangkan kuota daripada lapan kepada enam membabitkan jumlah pemain import dan kebangsaan yang berada di atas padang.
Contohnya juara treble, Universiti Kuala Lumpur memiliki empat pemain import dan tujuh kebangsaan, jumlah keseluruhan 11 pemain.
Daripada jumlah ini, hanya enam pemain dibenarkan berada di atas padang untuk satu-satu perlawanan. Baki? Jadi simpanan. Rugi kerana mereka hanya boleh menggantikan kuota pemain yang sama.
3) Liga 37 hari
Pihak pengurusan cukup berkira-kira untuk mengeluarkan bajet ketika pandemik Covid-19. Apatah lagi jika pulangan pelaburan (ROI) kecil.
Hingga hari ini saya masih terkilan apabila Sapura tarik diri dalam LHM dan tubuhkan Team Sapura Cycling yang bersaing sepanjang tahun hingga dinobatkan pasukan terbaik Asia 2020.
Ada pihak anggap pengurangan pemain import akan buka lebih banyak peluang kepada pemain muda beraksi di pentas tertinggi kebangsaan.
Namun perlu ingat, LHM antara liga hoki yang berjaya menarik bintang seluruh dunia.
Pakar pukulan sudut penalti terbaik dunia, Gonzalo Pelliat (Argentina), penjaga gol terbaik dunia, David Harte (Ireland), penyerang naib juara Piala Dunia, Jeroen Dolf Hertzberger (Belanda) pernah bermain di Malaysia!
Saya tidak menyalahkan KHM kerana ini antara kesan pandemik Covid-19.
Cuma, saya harap KHM selami suara-suara tidak puas hati kelab bertanding.
Mereka pemegang taruh utama LHM.
Ada yang sudah bersama LHM sejak edisi pertama 1987.
Selamat berjaya untuk pasukan bertanding!
Must-Watch Video



