Skip to main content

Rencana

LFK datang lagi...

31016futsal1.jpg
Setelah setahun arena futsal kebangsaan sepi daripada pentas liga, kini Liga Futsal Kebangsaan (LFK) kembali menemui peminat futsal dan semestinya berita gembira pemain-pemain tegar futsal yang dahagakan perlawanan seperti ini.

Setelah melalui beberapa permasalahan sebelum ini yang dikatakan antaranya berpunca daripada penarikan diri penaja utama namun kini LFK meneruskan kerancakkan biarpun bilangan pasukan dikurangkan dan tempoh pertandingan dipendekkan bagi menurunkan kos penganjuran.

Bagi liga kali ini, perlawanan dibahagikan kepada beberapa sirkit. Disebabkan jumlah pasukan wanita lebih sedikit iaitu enam pasukan berbanding sembilan pasukan lelaki, pembahagian sirkit juga berbeza. Namun secara keseluruhannya terdapat sembilan sirkit kesemuanya yang telah pun bermula pada 11 dan 12 Februari lalu bagi sirkit pertama.

Tempoh hari, saya sempat bersama dua bintang futsal dari pasukan Felda United yang turut bermain dalam liga iaitu Farahiyah Ridzuan, kapten pasukan wanita, dan Mohd Azwann Ismail daripada pasukan lelaki.

Pada ketika itu pasukan Felda United yang membuka liga musim ini dengan penuh gaya apabila mencatatkan kemenangan berturut-turut dalam sirkit 1. Setelah berakhirnya sirkit 3 pada 25 dan 26 Februari lalu, nampaknya pasukan wanita Felda United berjaya mengungguli tangga teratas setelah mencatat kemenangan berturut-turut iaitu ke atas pasukan Perak, ATM, PDRM dan Sarawak.

Sementara itu, pasukan lelaki Felda United terpaksa akur dengan catatan empat kemenangan dan satu kekalahan dan berada di kedudukan ketiga di bawah Melaka dan Pahang.

Menurut Farahiyah atau nama panggilannya Dekyah yang juga merupakan kapten pasukan, kesefahaman dalam sesebuah pasukan itu amat penting bagi menggerakkan pasukan secara teratur. Dan tugas seorang kapten bagi mengawal situasi pada saat genting, amat besar dan perlu dilaksanakan secara bijak.

“Selalunya kalau dalam keadaan stress, Dekyah sebagai kapten kena profesional. Perlu tenangkan kawan-kawan lain dan sokong mereka”, kata Farahiyah

Bagi Mohd Azwann Ismail pula, terlalu awal untuk menjangkakan kedudukan di peringkat akhir nanti. Masing-masing (pasukan lain) sudah pasti akan merangka strategi terbaik bagi merebut kedudukan teratas. Apa yang penting pasukan kena saling bekerjasama dan buat yang terbaik mengikut perancangan.

Sirkit seterusnya iaitu sirkit 4 akan berlangsung pada 11 dan 12 Mac 2017. Sudah pasti Liga Futsal Kebangsaan kali ini amat penting bagi penambahan dan pencarian bakat baru dalam sukan futsal tambahan lagi bagi mengisi skuad negara temasya Sukan Sea 2017.

Advertisement

Must Watch Video