Skip to main content

Rencana

Lapan minit yang menghukum Indonesia

ricuh10.jpeg
Penyokong Indonesia harus menyalahkan diri sendiri apabila pasukan mereka tewas 3-2 kepada Malaysia dalam perlawanan pembukaan Kumpulan G, pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022, Khamis lalu.

Selepas jaringan penyamaan Syafiq Ahmad -- susulan jaringan Mohamadou Sumareh di antara dua jaringan Beto Goncalves dalam babak pertama -- penyokong Indonesia bertindak agresif dengan merusuh dan menyerang penyokong Malaysia di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta.

Ia memaksa pengadil dari Korea Selatan, Ko Hyungjin, untuk menghentikan perlawanan selama lapan minit bagi meredakan keadaan.

Siapa sangka lapan minit tambahan masa pada penghujung perlawanan itu benar-benar menjadi rahmat buat Malaysia.

Isyarat empat jari ditunjukkan ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, sambil mengacukan jari telunjuk ke jam tangannya sebagai isyarat buat pemain kebangsaan bahawa masih ada empat minit untuk mereka mengejar kemenangan.

Susulan itu, Brendan Gan melakukan jolokan ke arah Matthew Davies di bahagian kanan sebelum pertahanan sayap negara itu menghasilkan hantaran lintang rendah benar-benar di depan gawang lawan.

Syamer Kutty Abba terlepas, namun usahanya itu memaksa penjaga gol Indonesia,  Andritany Ardhiyasa, keluar dari posisinya untuk Sumareh menolak masuk bola ke gawang yang sudah tidak dijaga.

Kerana lapan minit itu, Malaysia meraikan gol kemenangan dan kerana insiden lapan minit itu jugalah, Indonesia berkemungkinan besar akan berdepan hukuman daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Advertisement

Must Watch Video