Skip to main content

Rencana

Lain macam nafsu Perak, Melaka, Pahang....

221216-1.jpg
Wowww, betul-betul serius ni nak kejuaraan...itu reaksi sulung ramai peminat bola sepak bila ketahui Perak, Melaka dan Pahang berjaya memancing ramai bintang tempatan.

Bermula dari Pahang, pihak pengurusan sebenarnya sudah lakukan persiapan sebelum berakhir Liga Malaysia selepas kecewa melihat prestasi mereka sepanjang musim ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang(PBNP), Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah, melaburkan peruntukan besar bagi hadapi musim 2017 dengan memanggil semula Dollah Salleh.

Tidak perlu disebut satu persatu siapa yang akan beraksi di sana namun jika diteliti Pahang punyai ramai pemain berkualiti tinggi di bahagian sayap seperti Nurridzuan Abu Hassan, Christie Jayaseelan, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, Ashaari Samsudin dan Joseph Kalang Tie.

Satu situasi yang pasti bukan sahaja buatkan lawan bingung fikirkan strategi akan digunakan Pahang tetapi Dollah juga pasti pening kepala memilih kesebelasan utama.

Masih berkira-kira siapa calon import yang akan tiba, difahamkan Pahang akan memikat bekas penyerang Bawah 19 Perancis serta pernah beraksi dengan kelab terkemuka Perancis, Lyon iaitu Harry Novillo.

Ketika ramai masih belum habis menceritakan persiapan Pahang, tiba-tiba Melaka curi perhatian dengan membawa masuk penyerang veteran, Amri Yahyah dari Johor DT.

Kehadiran Amri jelas cetus sensasi kepada pendatang baharu Liga Super ini selain turut mengikat beberapa pemain tempatan yang tidak kurang hebat nilainya seperti Faizal Muhammad, Mohd. Fauzi Roslan dan Mohd. Firdaus Mohamad.

Ditambah dapat sentuhan bekas jurulatih Yangon United, Eric Williams, jangan pandang sepi cabaran Melaka yang mampu cipta impak tersendiri.

Ketika sangkakan cerita perpindahan sudah tamat, tiba-tiba Perak yang seperti menyimpan kuku berjaya sambar tiga pemain berpengalaman iaitu Shahrom Kalam, Mohd. Hafiz Kamal, Zaquan Adha dan Abdul Hadi Yahya.

Ia bagai melengkapi kehadiran dua bekas pemain JDT sebelum ini iaitu Nazrin Nawi dan Jasazrin Jamaluddin.

Jika diamati, Perak sebenarnya ada potensi muncul pencabar kejuaraan kerana mereka sudah dibekalkan ramai pemain muda berpotensi besar seperti Kenny Pallraj, Shahrul Saad, Hafizul Hakim dan Ahmad Khairil Anuar(Beto).

Kebangkitan tiga pasukan ini jelas satu isyarat kepada JDT, Kedah dan Felda bahawa perebutan kejuaraan pada musim depan pasti semakin sengit.

Bukan itu sahaja, ragam serta drama Liga Malaysia pada tahun 2017 pasti meriah kerana Perak, Melaka dan Pahang diketahui punyai sejumlah penyokong yang ramai dan sentiasa bersama pasukan.

Kredit imej: @MelakaUnitedSA

Advertisement

Must Watch Video