Skip to main content

Rencana

Kok Chi arkitek Kemboja 2023

zkok2.jpg
Siapa tidak bangga apabila sesebuah negara menghargai kepakaran rakyat Malaysia?

Apa yang saya maksudkan ialah sentuhan veteran sukan negara, Datuk Sieh Kok Chi apabila Kemboja melantiknya sebagai penasihat penganjuran Sukan Sea 2023.

"Kami tidak pernah menganjurkan Sukan Sea. Jadi antara persiapan kami ialah menghantar delegasi memantau persiapan dan penganjuran temasya Kuala Lumpur 2017 dan mendapatkan nasihat daripada beberapa pakar sukan rantau ini.

"Ada di antara mereka terdiri daripada rakyat Malaysia," kata Menteri Pendidikan, Belia dan Sukan Kemboja, Dr Hang Chuonnaron. 

Saya hanya tersenyum dalam sidang media selepas Larian Baton Bangkit Bersama di Phonm Penh kerana saya tahu individu yang dimaksudkan ialah Kok Chi.

Ini kerana saya pernah datang melawat Penolong Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM) itu di pejabatnya, bulan lalu dan beliau menunjukkan beberapa keping gambar mengenai sentuhannya bersama Kemboja.

"Mereka bangsa yang mahu belajar. Saya gembira kerana mereka mendengar nasihat untuk buat persiapan seawal mungkin. 

"Kini, beberapa venue pertandingan sudah siap walaupun mereka akan jadi penganjur Sukan Sea pada 2023," kata Kok Chi.

Setahu saya, Kok Chi juga pernah terbabit sebagai perancang utama penganjuran Sukan Sea 2003 di Vietnam yang menyaksikan Nazmizan Muhammad dinobatkan raja pecut Asia Tenggara dengan merangkul pingat emas 100 dan 200m.

Saya sempat begurau: "Datuk, Sukan Sea Kemboja 6 tahun lagi. U (anda) sudah berusia 77 tahun. Sempat ke untuk menyaksikannya? 

Beliau membalas: "Jika tidak sempat pun tidak mengapa. Apa yang penting sumbangan terhadap negara Asia Tenggara. Saya harap ada individu yang akan meneruskan usaha meluaskan perkongsian pengetahuan sukan di rantau ini.

"Saya harap Bazly dapat ke Kemboja 2023," kata bekas jurutera itu.

Saya menghormati Kok Chi bukan kerana pengetahuan luasnya dalam sukan. Tetapi atas pelbagai faktor. Individu yang cukup bersahaja walaupun memiliki tanah hampir setengah ekar berhampiran Menara Berkembar Petronas.

Veteran sukan negara yang diiktiraf di luar negara walaupun sudah memperlahankan langkah di negara sendiri. Tabik Datuk Sieh Kok Chi!

Advertisement

Must Watch Video