Skip to main content

Rencana

Khair dan char koay teow

khair-jones.jpg
Tatkala gawang Timor Leste dibolosi pada minit ke-15, siapa sangka Khair Jones berada di kedudukan terbaik untuk meledak gol pertama negara dalam aksi kedua play off Kelayakan Piala Asia di Stadium Larkin pada Isnin.

Penampilan kali pertama Khair bersama skuad negara bermula dengan baik menerusi jaringan pembukaan yang sekurang-kurangnya beri kelegaan selepas percubaan Amirulhadi Zainal dan Hazwan Bakri gagal memecah kebuntuan pada awal babak.

Memang kelibat Khair adalah tumpuan utama penulis selepas pemain berdarah campuran Malaysia-New Zealand ini beri impak positif dalam aksi persahabatan dengan Myanmar walau hanya diberi peluang dalam 12 minit terakhir di Stadium Thuwunna.

Terngiang di telinga penulis apabila teringat jawapan ringkas Khair ketika di tanya apa makanan kegemarannya di Malaysia.

Penulis menjangkakan mungkin jawapan jejaka tinggi lampai ini terarah kepada makanan kebiasaan Negeri Sembilan seperti masak lemak cili api, gulai tempoyak ataupun daging salai.

' Saya suka Koay Teow. ' pelat kedengaran tetapi pemain ini cuba untuk berbahasa Melayu

Yang nyata, kesukaan Khair mudah untuk diperolehi di Wisma FAM, di mana rata-rata cukup kenal dengan masakan 'Koay Teow aunty FAM' yang turut jadi kegemaran beberapa pemain serta jurulatih negara.

Jika panjang jodoh Khair bersama skuad negara, penulis fikir gerai 'aunty FAM' bakal jadi tumpuan Khair yang sememangnya menggemari Koay Teow.

Walaupun lenggok perbualan Khair lebih kepada latar belakang ayahnya yang berdarah New Zealand namun kurang setahun menetap di Malaysia tidak menyukarkan Khair mengenali tradisi dan sebahagian dari darah dagingnya iaitu Malaysia.

Citarasa Khair memudahkan lagi perjalanannya yang mahu muncul sebagai pemain terbaik negara dalam masa terdekat ini.

Pemain kelahiran Seremban, Negeri Sembilan ini tidak kekok sepanjang bersama dengan skuad negara dan yang paling penting peluang selama 45 minit yang diberikan oleh Jurulatih Negara, Datuk Ong Kim Swee pada Isnin berjaya dibalas dengan jayanya.

'Saya tidak pernah impi secepat ini ruang yang diberikan untuk saya berbakti dalam skuad negara. Tapi ia sedang berlaku sekarang dan jadi tugas saya untuk membuktikan saya boleh.'

Apa yang dinyatakan Khair mampu sumbang kelebihan ketara buat skuad negara apa tidaknya dia sudah berjaya letak dirinya selaku pemain yang boleh diharapkan walaupun hakikatnya dia masih baru di kalangan pemain skuad negara.

Jelas sekali pemain ini bijak mengawal gemuruh agar tidak mempengaruhi corak permainannya di atas padang.

'Berada di bangku simpanan gementar saya cukup ketara namun apabila di arah masuk padang, saya sudah tidak ada masa untuk memikirkan rasa gementar itu lagi.'

Advertisement

Must Watch Video