RENCANA
Kelompok elit buat Claudio Ranieri
Sir Alex Ferguson, Kenny Dalglish, Arsene Wenger, Jose Mourinho, Carlo Ancelotti, Roberto Mancini & Manuel Pellegrini.
Percaya atau tidak, hanya tujuh pengurus ini sahaja yang pernah mengecapi kejuaraan Liga Perdana Inggeris sejak musim 1992/1993.
Kini seorang lagi individu berpeluang untuk mengukir nama dalam kelompok "elit" ini iaitu pengurus kelahiran Itali, Claudio Ranieri yang mengendalikan pasukan Leicester City.
Iklan
Ketika artikel ini ditulis, Leicester City hanya memerlukan tiga lagi mata untuk mengesahkan gelaran Liga Perdana Inggeris musim 2015/2016.
Nyata ia akan menjadi satu kejayaan paling menakjubkan buat kelab yang diberi jolokan The Foxes ini sejak penubuhannya pada 1884.
Malah buat Ranieri sendiri ia juga bakal menjadi pencapaian terbaik dalam karier.
Untuk rekod, kejuaraan paling gah pernah dimenangi Ranieri ialah Piala Raja Sepanyol musim 1998/1999 serta Piala Super Eropah 2004, kedua-duanya diraih bersama Valencia.
Beliau sebenarnya punyai peluang untuk buktikan kemampuan bersama Chelsea pada awal tahun 2000 tetapi tidak diberi kepercayaan oleh pemilik kelab berkenaan, Roman Abramovich.
Manakala tugasannya sebelum menyertai Leicester City juga tidak begitu membanggakan, tewas mengejut kepada Kepulauan Faroe dalam kempen kelayakan Euro 2016 sehingga menyaksikan beliau letak jawatan sebagai pengendali pasukan kebangsaan Greece.
Pelantikannya sebagai pengurus Leicester City awal musim ini juga mengundang pelbagai kritikan serta pandangan sinis khususnya kepada beberapa bekas pemain kelab itu seperti Gary Lineker dan Tony Cottee.
Namun kini Ranieri membuktikan beliau turut punyai sentuhan juara dengan menjadikan Leicester City antara pasukan paling konsisten.
Juara ataupun tidak, Ranieri kini berdepan satu jangkaan baru buat peminat The Foxes, apatah lagi misi serta visi pemilik kelab itu, Vichai Srivaddhanaprabha untuk menjadikan Leicester City sebagai antara pasukan terbaik di England dalam tempoh lima tahun.
Walaupun sukar untuk meramalkan, penulis yakin Ranieri dan Leicester City mampu teruskan kesinambungan ini bagi memecah tradisi yang sinonim dengan kelab-kelab besar seperti Manchester United, Manchester City, Liverpool ataupun Chelsea.
Must-Watch Video