RENCANA
Kedah guna pengalaman hadapi tekanan
Kemuncak Piala FA 2017 akan tiba apabila dua perlawanan separuh akhir berlangsung dalam jangka masa 24 jam. Ini merupakan perlawanan yang sengit yang banyak menguji kekuatan mental dan fizikal pemain menghadapi tekanan perlawanan.
Sudah pasti sorakan penonton akan mengiringi setiap ruang stadium bagi pasukan tuan rumah memastikan pemain-pemain kesayangan mereka memberi persembahan terbaik untuk mencari seberapa banyak jaringan untuk dibawa bekalan dalam perlawanan kedua nanti.
Inilah tekanan yang akan pemain-pemain hadapi, terutama pasukan tuan rumah, seiring dengan harapan penyokong untuk melihat pasukan mereka mencipta kemenangan.
Dalam keadaan beginilah, pemain-pemain perlu bijak menggunakan masa sebelum perlawanan untuk mencari ketenangan dan saat ini jugalah pemain-pemain memerlukan sokongan daripada keluarga terdekat.
Iklan
Apa yang pasti, penulis akan memberi tumpuan kepada pertemuan Kedah dan Terengganu kerana ingin melihat sendiri bagaimana pemain-pemain Kedah, terutamanya, bijak mengawal tekanan apabila berhadapan dengan lawan dari Pantai Timur itu -- memandangkan banyak gosip-gosip yang tidak diingini berlaku dalam pasukan Kedah, baik tentang jurulatih atau pemain import mereka.
Ini sudah pasti akan meresahkan peminat-peminat mereka, namun penulis pasti dengan kematangan fikiran dan pengalaman yang ada pada jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe, dan pemain-pemainnya yang mampu mengetepikan gosip-gosip itu dan memberikan persembahan terbaik melalui percaturan taktikal yang akan diterapkannya.
Ini satu tugas yang mencabar kepada Cheng Hoe apabila berhadapan dengan seorang jurulatih yang mempunyai pengalaman luas serta punya karektor tersendiri, iaitu Irfan Bakti Abu Salim.
Bukan mudah bagi Kedah apabila berhadapan dengan pasukan bukan pilihan dan sudah pasti, pemain-pemain Terengganu sudah mempersiapkan diri dari segi mental dan moral yang tinggi kerana mereka ingin membuktikan bahawa mereka boleh melakukan kejutan.
Penulis mengharapkan satu perlawanan yang menarik dan penuh dengan kreatifviti yang mampu dipamerkan oleh kedua-dua pasukan melalui perancangan yang telah disusun oleh jurulatih masing-masing.
Selamat maju jaya kepada pasukan-pasukan yang bertanding dan diharapkan semangat kesukanan yang tinggi sentiasa dipamerkan – baik ketika menang, lebih-lebih lagi jika kalah.
Must-Watch Video