Skip to main content

Rencana

Kami Kembali

kualalumpur251017.jpg
The City Boys atau Kuala Lumpur kembali mewarnai saingan Liga Super untuk musim hadapan setelah terlalu lama tidur dan menyepi daripada liga utama di Malaysia.

Penulis yang merupakan anak jati Kuala Lumpur turut merasa bangga dengan prestasi semasa The Hawk di bawah bimbingan Fabio Magrao yang berjaya muncul juara Liga Perdana musim ini dengan 15 kemenangan, 2 seri dan 5 kekalahan dalam 22 perlawanan liga secara keseluruhan.

Kejayaan mereka turut dibantu kecemerlangan penyerang sensasi, Guilherme de Paula atau lebih mesra disapa dengan panggilan ‘Wak Doyok’. Guilherme berjaya meledakkan 27 gol untuk Kuala Lumpur musim ini dan keringatnya dijangka dikekalkan untuk saingan Liga Super musim hadapan.

Kuala Lumpur musim ini sebenarnya ditunjangi nama-nama yang tidak asing di Liga Malaysia  seperti ketua pasukan, Helmi Remeli, Ashri Chuchu, Manaf Mamat dan Azmeer Yusof dimana penulis percaya khidmat kesemua mereka pasti ditagih The Hawk untuk musim 2018.

Selain itu, apa yang membuat penulis teruja ialah kesudian pihak pengurusan untuk mempercepatkan kerja baik pulih stadium KLFA di Cheras. Buat masa ini, stadium KLFA di Cheras masih belum sedia secukupnya jika mahu dijadikan venue untuk saingan Liga Super.

Seingat penulis, zaman kegemilangan Kuala Lumpur adalah sewaktu era bimbingan Chow Kwai Lam dimana mereka muncul juara Piala Malaysia 1987, 88 dan 89. Kini, mereka kembali, jadi kepada pasukan lain di saingan Liga Super, waspada dengan kehadiran The City Boys!

Advertisement

Must Watch Video