RENCANA
Jangan salah bedil!
ISU di antara dua penembak – Muslifah Zulkifli dan Nur Ayuni Farhana Abdul Halim – dan dua organisasi harus membuka mata semua pihak.
Muslifah dan Nur Ayuni sedang berkira-kira mengambil tindakan undang-undang terhadap Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM), Majlis Sukan Negara (MSN) dan pengurus pasukan, Datuk Sabiamad Abdul Ahad, setelah nama mereka digugurkan daripada kontinjen Sukan SEA Ogos nanti atas dakwaan masalah disiplin.
Februari lalu, mereka digugurkan bersama Nur Suryani Taibi dan Ezuan Khan Nasir daripada program Podium yang dikendalikan oleh ISN. Namun Nur Suryani dan Ezuan diserapkan ke dalam program Kita Juara di bawah MSN, manakala Muslifah dan Nur Ayuni memilih untuk bernaung di bawah NSAM.
Iklan
Pada 7 Jun lalu, Setiausaha Kehormat NSAM, Adam Tee, mendedahkan keputusan menggugurkan kedua-duanya berikutan atlet berkenaan mempunyai masalah disiplin dan komitmen mereka diragui.
Susulan itu, Muslifah dan Nur Ayuni mengadakan sidang akhbar pada keesokannya sambil menuntut permohonan maaf daripada NSAM, MSN dan ISN dalam tempoh 24 jam.
Jika ada berlaku sebarang ketidakadilan, amat wajar mana-mana atlet tampil memperjuangkan hak mereka.
Apatah lagi dari sudut kaca mata mereka sebagai atlet elit, digugurkan atas dakwaan disiplin tentu sekali menjejaskan imej dan reputasi mereka kerana peluang beraksi dalam Sukan SEA di laman sendiri mungkin datang sekali seumur hidup.
Namun dari perspektif persatuan pula, tentu Adam dan Sabiamad yang juga bekas penembak negara sehingga peringkat Sukan Olimpik, ada sebab mengeluarkan kenyataan bersifat negatif terhadap mereka.
Sedikit merunsingkan penulis adalah dakwaan kononnya MSN dan Institut Sukan Negara (ISN) berkomplot menggugurkan mereka.
Podium dikendalikan ISN, dengan pengarahnya Tim Newenham, yang dibawa masuk untuk menguruskan projek itu selepas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, mengumumkan penyusunan semula program elit sukan tempatan di bawah Model Sukan Baharu.
Muslifah pula terang-terangan menuduh ketua pengarahnya, Datuk Ahmad Shapawi Ismail, sebagai campur tangan tanpa menawarkan jalan penyelesaian.
Dalam hal ini, penulis percaya isu ini tidak akan diperbesarkan jika pengurusan Podium terlebih dahulu memberi penjelasan sebab-sebab mereka digugurkan Februari lalu.
Sudah tentu pengurusan Podium mempunyai data lengkap berhubung prestasi latihan dan pertandingan dan rekod perubatan untuk dijelaskan kepada atlet.
Penulis juga berasa tidak wajar dua penembak elit negara itu mengambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa kerana ia menjejaskan hubungan baik dengan semua pemegang kepentingan. Lagipun mereka berdepan risiko kisah dalam kain didedahkan dalam mahkamah.
Setiap tindak-tanduk, rekod komunikasi menerusi emel dan aplikasi whatsapp, jumlah kehadiran dalam latihan dan rekod kesihatan mereka akan diperinci satu-persatu jika isu ini diheret ke mahkamah.
Atlet elit juga harus belajar tidak bergantung kepada rekod silam untuk menjual bakat mereka. Mereka juga harus berhati-hati memuat naik status dalam laman sosial untuk mengelak spekulasi dan fitnah.
Sebab itu disiplin bukan sahaja merangkumi tatacara menjalani latihan dan prestasi sewaktu pertandingan. Disiplin juga bermaksud menjaga adab sesama atlet, pegawai, jurulatih dan peminat. Disiplin juga bermaksud mengawal pemakanan, menghormati waktu dan jadual serta bijak mengurus kerjaya.
Dalam acara yang boleh diukur menerusi catatan atau masa seperti menembak, memanah, olahraga dan renang, prestasi semasa harus dijadikan ukuran utama. Untuk memastikan prestasi semasa sentiasa di puncak, seseorang individu wajib menunjukkan tahap disiplin diri yang tinggi.
Sebab itu apabila Jawatankuasa Disiplin NSAM bersidang minggu depan, mereka juga harus memikirkan isu ini dari pelbagai sudut.
Apakah wajar untuk Adam mendedahkan masalah disiplin itu?
Apakah bukti-bukti yang menunjukkan penembak terbabit tidak berdisiplin?
Apakah isyarat yang hendak dikirim kepada masyarakat jika mana-mana penembak yang selama ini dibangunkan menerusi keistimewaan sistem dan proses sedia ada, termasuk kos latihan, elaun dan perbelanjaan ke pelbagai destinasi indah dalam sirkit Piala Dunia ISSF diberi ruang untuk membuat tuduhan selain mengugut mengambil tindakan mahkamah serta menuntut permohonan maaf?
Jangan nanti penembak negara tersasar dan NSAM pula dibedil.
NSAM dan kelompok penembak negara tentu maklum wujudnya pepatah Inggeris, “shooting themselves in the foot” atau ringkasnya, mencederakan diri sendiri.
Pihak mana yang tercedera pada kesudahannya?
Must-Watch Video