Skip to main content

Bola Sepak

UEL: Forest tundukkan Porto, cipta pertembungan ‘All-English’ bertemu Villa

UEL: Forest tundukkan Porto, cipta pertembungan ‘All-English’ bertemu Villa

Nottingham Forest melakar satu lagi malam gemilang di Eropah apabila menyingkirkan FC Porto untuk mara ke separuh akhir Liga Europa UEFA.

Kemenangan tipis 1-0 di laman sendiri sudah cukup buat Forest mengesahkan kemaraan dengan agregat 2-1 -- sekali gus menyediakan pertembungan sesama kelab England menentang Aston Villa di peringkat separuh akhir.

Advertisement

Perlawanan baru bermula dengan tempo tinggi apabila Porto kehilangan seorang pemain seawal minit kelapan selepas kad merah dilayangkan kepada Jan Bednarek.

Kelebihan itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh Forest, apabila Morgan Gibbs-White menjaringkan gol tunggal perlawanan hanya beberapa minit kemudian menerusi rembatan yang terbias.

Gol awal itu bukan sahaja mengubah momentum, malah memaksa Porto bermain dalam tekanan sepanjang baki perlawanan.

Walaupun beraksi dengan 10 pemain hampir keseluruhan perlawanan, Porto tidak mengalah begitu sahaja, beberapa kali mencipta peluang berbahaya dan hampir menyamakan kedudukan namun tiada yang berjaya menerjah gawang Forest.

Dalam satu lagi aksi suku akhir, Aston Villa mempamerkan dominasi apabila membelasah Bologna 4-0 untuk mara dengan agregat besar 7-1.

Ia sekaligus menyaksikan pertembungan dua kelab England dalam aksi separuh akhir bagi merebut slot ke final.

Gol Gibbs-White turut membawa makna tersendiri apabila beliau meraikannya dengan memegang jersi rakan sepasukan, Elliot Anderson -- sebagai tanda sokongan selepas kehilangan ahli keluarga.

Kejayaan ini bukan sekadar kemaraan ke separuh akhir -- ia simbol kebangkitan semula Nottingham Forest di pentas Eropah selepas sekian lama.

Kini, cabaran sebenar menanti.

Menentang Aston Villa, Forest bukan lagi ‘underdog’ semata-mata tetapi pencabar serius yang sudah membuktikan mereka mampu bertahan, menekan dan menang di saat genting.

Must Watch Video