Skip to main content

Rencana

Intailah El Magico antara nampak

silva-cover.jpg
Melihat David Silva, sebahagian penyokong Manchester City harus berasa sebak sambil sebahagian lagi akan lambat-laun diruntun perasaan yang sama.

Menyaksikan pemain berusia 33 tahun itu memimpin pasukan masuk ke padang untuk perlawanan Perisai Komuniti di Stadium Wembley seminggu lalu, ia harus mengimbau kenangan mereka kepada detik-detik sukar buat veteran The Cityzens itu.




Betapa mereka sangat hampir kehilangannya di antara penghujung 2017 dan awal 2018 untuk pemain dengan jolokan ‘El Magico’ itu dianggap rahmat bukan sekadar masih kekal bersama The Sky Blues, malah kini diberi penghormatan memakai lilitan lengan selaku kapten.

Menghilangkan diri seketika pada musim Krismas dan Tahun Baru yang sibuk pada 2017/18 itu, Silva kemudian mendedahkan bayi lelakinya, Mateo, yang dilahirkan pramatang (25 minggu) ketika itu sedang bertarung nyawa dari hari ke hari di Hospital Casa de Salud, Valencia, hampir 1,000 batu jauhnya.

Ia memerlukannya berulang-alik pada setiap waktu terluang untuk bersama pasangannya, Yessica Suarez Gonzalez, dan bayi mereka – ia berlanjutan selama lima bulan -- hingga dia memutuskan bola sepak bukan lagi keutamaannya pada waktu itu.




Terlepas beberapa perlawanan dalam musim Pep Guardiola memburu kejuaraan pertamanya dalam EPL setelah hanya menduduki tangga ketiga di belakang Chelsea dan Tottenham pada musim sebelumnya, Silva amat beruntung kerana pengurusnya itu sangat memahami dan memberikan sepenuh sokongan dengan mengizinkan ketiadaannya selama mana dia perlukan.

Menepati satu arahan Guardiola supaya City memenangi pertemuan dengan Tottenham pada 17 Disember 2017 khusus untuk Silva, pemain tengah itu mengingati bagaimana dia berlinangan air mata menonton menerusi iPad di hospital terhadap jaringan Ilkay Gundogan, Kevin de Bruyne dan Raheem Sterling (dua) untuk menundukkan Spurs 4-1.

“Ia sesuatu yang saya akan berasa terhutang budi sepanjang hayat,” sorot pemain itu seperti dipetik akhbar The Telegraph terhadap kata-kata semangat Guardiola dan rakan sepasukannya dari bilik persalinan.

Guardiola, seorang yang kuat berpegang kepada perikemanusiaan, percaya seorang pemain ‘istimewa’ seperti Silva berhak mendapat layanan istimewa jua, apatah lagi pada saat-saat dia amat memerlukan segala bantuan.



Tambahan pula, CVnya (ketika itu) antara lain menampilkannya sebagai pemenang Piala FA, tiga kali juara Piala Liga, dua kali juara EPL, dua kali pemenang Euro (2008, 2012) dan pemenang Piala Dunia 2010 di samping dianggap legenda oleh penyokong City.

Kini adalah masa untuk Silva membayar balik apa yang dia telah terhutang.

Dipilih untuk mengambil alih daripada Vincent Kompany selaku kapten buat kali pertama ketika menundukkan West Ham 4-1 dalam satu perlawanan pramusim di Nanjing, China 17 Julai lalu, pemilihannya bukan pun satu keraguan.

Disahkan pelantikannya oleh rakan-rakan sepasukan dalam satu sesi sembang-sembang makan malam di restoran baru Tast milik Guardiola di King Street, minggu lalu, kapten City itu yang kini dalam musim terakhirnya – sejak menyertai The Cityzens daripada Valencia pada 2010 – mahu menyudahinya dengan satu lagi nota kejayaan.

Anak sulungnya itu bukan lagi jadi kebimbangan – Mateo sudah semakin montel dan ditampilkan bersama penyokong di Etihad buat kali pertama pada 19 Ogos 2018 apakala bapanya turut menyumbang satu gol dalam kemenangan 6-1.



Cuma, di sebalik tempoh 10 tahunnya bersama City – dia membuat 33 penampilan musim lalu dengan rekod keseluruhan 396 penampilan sehingga akhir musim 2018/19 di samping menghimpun 71 gol dan 130 bantuan jaringan – El Magico, bagaimanapun, kekal selaku pemain yang kurang diraikan.

“Tidak, ini adalah musim terakhir. 10 tahun sudah mencukupi, ia melengkapkan satu putaran. Ia satu tempoh sempurna (untuk berundur),” katanya ditanya kemungkinan akan kekal semusim lagi.

Trofi UCL yang masih dicari-cari City harus akan melengkapkan CV gemilang Silva sebelum membuat lambaian perpisahan, dengan satu perlawanan penghargaan sudahpun dirancang untuknya selepas berakhir musim ini.

Dengan City membuka kempen dalam kemenangan 5-0 di West Ham kelmarin, hitungan waktu juga sudah bermula buat penyokong The Citizens menikmati setiap minit kehadiran dalam musim terakhirnya.

 

Advertisement

Must Watch Video