Skip to main content

Rencana

Inilah tempat di mana JDT berhak berada -- Guerra

gabriel-guerra.jpg
Dalam diam-diam, takhta Liga Super kini berpindah milik kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) biarpun pada awal saingan musim ini, kedudukan mereka terumbang-ambing.

Antara individu yang gembira dengan perkembangan ini adalah penyerang importnya, Gabriel Guerra.

"Inilah tempat yang JDT sepatutnya berada!" Itulah keyakinan yang dilaungkan penyerang kelahiran Argentina ini.

Rabu lalu, dia meledak satu gol serta mencipta satu peluang gol ketika bertandang ke Kelantan untuk membolehkan JDT bangkit meraih kemenangan bermakna, 3-2.

"Kami sangat gembira meraih kemenangan di gelanggang yang sukar! Saya gembira dapat memberi sumbangan," katanya lagi.

Sememangnya bukan mudah untuk mana-mana pemain import memenuhi jangkaan tinggi bersama Harimau Selatan tetapi bagi Guerra, dia cukup teruja untuk terus memainkan watak berbisa.

Malah, peningkatan prestasinya -- mengumpul lima gol liga setakat ini -- membuktikan dia semakin selesa dengan kehidupan di selatan tanah air sambil berkata cukup gemar untuk meluangkan masa bertemu peminat andai memiliki kesempatan.

Dia mengulangi pendirian betapa peminat adalah elemen paling penting dalam bola sepak sehingga membuka hatinya untuk menyertai JDT pada awal musim ini.

Tambah peminat nasi goreng ini, dia juga teringin untuk melawati Sabah selepas mendapat perkhabaran keindahan destinasi percutian di sana.
 

Advertisement

Must Watch Video